Faisal Halim sememangnya sudah bersedia untuk sarung jersi Harimau Malaya – Peter Cklamovski

432

Hari ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan baharu, Peter Cklamovski telah mengumumkan senarai 27 pemain yang akan dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 iaitu bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa, 25 Mac 2025.

Apa yang menarik adalah nama Faisal Halim yang kembali disenaraikan setelah lebih setahun tidak menyarung jersi negara susulan insiden hitam yang berlaku pada dirinya sebelum ini.


Selepas kembali beraksi di atas padang bersama kelabnya Selangor FC, Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey telah memperlihatkan peningkatan prestasi yang cukup baik dari semasa ke semasa.

Mickey akhirnya kembali mendapat sentuhan berbisanya apabila berjaya menjaringkan hatrik pada aksi Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN) baru-baru ini sekaligus membuka mata Cklamovski.

“Faisal adalah pemian yang sentiasa mahu bergerak ke hadapan, mencari ruang untuk menerima bola dan menyerang. Beliau pemain yang positif di atas padang, penuh tenaga dan kreativiti dalam permainan.

Seperti dia, ramai lagi pemain dalam skuad ini yang mempunyai kualiti yang saya mahu tonjolkan. Saya bercakap dengannya minggu lalu kerana mahu melihat keinginannya dan ‘mindset’-nya dalam situasi ini.

Saya menatap matanya dan melihat beliau ‘kelaparan’, semangat dan bersedia untuk menyarung jersi Malaysia Serta membuat rakyat bangga. Dan itulah sebabnya dia berada dalam skuad kali ini,”

katanya.

Cklamovski bagaimanapun berkata skuad negara tidak boleh bergantung kepada seorang pemain sahaja kerana kekuatan utama pasukan adalah kerjasama 11 pemain di atas padang.

Dalam pada itu, Cklamovski turut berkongsi mengenai perkembangan pemain warisan baharu yang akan memperkuatkan pasukan tidak lama lagi.

Beliau berkata tiga pemain baharu akan diumumkan pada minggu hadapan dan bakinya akan diumumkan pada bulan Jun nanti.

“Proses mendapatkan pemain warisan kini berada di peringkat akhir. Saya percaya akan ada berita positif minggu depan mengenai beberapa pemain. Namun ingin saya tegaskan apabila pemain warisan diumumkan mereka adalah pemain Malaysia.

Sesiapa yang berada di atas padang mewakili negara ini adalah pemain Malaysia. Saya memilih pemain yang mempunyai kebangsaan, semangat dan komitmen tinggi untuk bermain demi Malaysia.”

Sementara itu, Cklamovski kini bakal berdepan cabaran besar kerana sekiranya Malaysia ingin mencipta sejarah layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027, mereka perlu menamatkan kempen kelayakan sebagai juara kumpulan.