MFL terbuka untuk kelab dari negara asing sertai Liga Super

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata pihaknya terbuka sekiranya ada kelab dari negara asing ingin sertai Liga Super Malaysia pada musim hadapan.
Mohd Shazli bagaimanapun berkata mana-mana kelab dari negara asing yang berminat boleh membuat permohonan yang mana mereka perlu lalui banyak proses sebelum boleh beraksi dalam liga tempatan.
“Perkara tersebut perlu melalui banyak proses untuk bermain di Liga Malaysia yang mana permohonan perlu melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan seterusnya Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan kelulusan bagi membolehkan kelab negara asing bermain di Malaysia.
Sudah tentu kita (MFL) terbuka tapi kita perlu mengambil kira juga liga akan bermula bila dan bila liga-liga di negara tersebut berakhir. Jadi perkiraan kelab-kelab yang ingin bermain di Liga Malaysia perlu diambil kira dari sudut tempoh masa mendapat kelulusan di peringkat FIFA,”
katanya.
Tambah Mohd Shazli lagi, pihak MFL tiada masalah sekiranya mendapat sokongan daripada FAM dan kelulusan daripada pihak AFC dan FIFA.
Beliau berkata demikian selepas ditanya samada pihak MFL terbuka untuk menerima kelab dari negara asing bermain di Liga Super selepas kelab dari negara jiran iaitu Brunei DPMM dikatakan mahu kembali membuat penampilan semula dalam saingan Liga Super selepas beraksi dalam saingan Singapore Premier League (SPL).
Dalam pada itu, Mohd Shazli berkata dengan saingan liga bakal menutup tirainya tidak lama lagi kesemua 13 kelab yang bersaing pada musim ini perlu melengkapkan dokumentasi bagi permohonan Lesen Kebangsaan untuk beraksi pada saingan Liga Super musim hadapan.
Beliau berkata enam daripada 13 kelab akan turut memohon lesen AFC iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kedah Darul Aman FC, Sabah FC, Penang FC dan Terengganu FC.
“Kita ada enam kelab yang memohon lesen AFC iaitu JDT, Selangor, Sabah, Penang, Kedah dan juga Terengganu dan kesemua kelab ini hanya akan diketahui status lesen AFC mereka pada akhir bulan Mac ini.”
Sementara itu, Mohd Shazli turut mendedahkan bahawa kesemua 13 kelab telah memberikan komitmen bahawa mereka mahu terus kekal dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.