KDA FC antara enam kelab mohon Lesen AFC untuk musim hadapan

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjadi perhatian ramai pada musim ini susulan kemelut kewangan yang parah melanda kelab itu di mana sehingga kini difahamkan tunggakan gaji pemain sudah mencecah 10 bulan.
Malah baru-baru ini juga tular khabar angin yang mengatakan bahawa KDA tidak akan beraksi lagi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan, namun pihak kelab telah tampil menafikan perkara tersebut dan menyatakan pendirian mereka untuk terus kekal di Liga Super pada musim hadapan.
Ternyata Sang Kenari sememangnya komited untuk terus kekal dan ia terbukti apabila mereka merupakan antara salah satu daripada enam kelab yang memohon Lesen AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk musim hadapan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd.
“Kita ada enam kelab yang memohon Lesen AFC iaitu JDT, Selangor FC, Sabah FC, Penang FC, Kedah Darul Aman FC dan juga Terengganu FC.
Keenam-enam kelab ini hanya akan diketahui status Lesen AFC pada akhir bulan Mac ini,”
katanya.
Tambah Mohd Shazli lagi, berdasarkan pertemuan dengan 13 kelab yang bersaing di Liga Super musim ini memperlihatkan kesemua mereka cukup positif untuk terus kekal.
“Ya, 13 pasukan masih optimistik, masih positif untuk terus kekal berada dalam Liga Super. Setakat ini sesi pertemuan yang diadakan cukup positif dan saya rasa dalam tempoh sebulan lebih ini, kelab-kelab harus bekerja keras untuk memastikan perkara-perkara melibatkan pelesenan itu dapat dipenuhi sebelum berakhir 30 April.”
Dalam pada itu, Mohd Shazli juga tidak dapat mengulas lanjut mengenai khabar angin yang mengatakan dua kelab gergasi tanah air iaitu KDA dan Sri Pahang FC tidak akan beraksi lagi di Liga Super pada musim hadapan kerana perkara itu bergantung samada kelab-kelab tersebut dapat Lesen Kebangsaan atau tidak.
“Saya rasa balik kepada pelaksanaan kelab, kita tidak menidakkan perkara tersebut. Prosedur kami adalah dari sudut pelesenan dan tempoh pelesenan itulah menjadi perkara utamanya.
Ia bergantung kepada jumlah pasukan yang dapat Lesen Kebangsaan dan ia tertakluk kepada pelesenan kebangsaan.”
Sementara itu, beliau juga tidak dapat mengulas lanjut mengenai pembubaran Piala MFL (Liga Simpanan B-23) dan pengenalan semula Liga Premier seperti yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Jelasnya, pihak MFL akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai perkara-perkara tersebut dalam masa terdekat.