Bola itu bulat. Kita pernah lihat banyak kejutan terjadi, seperti pada 2014 – Zainal Abidin

Lagenda bola sepak Pahang, Datuk Zainal Abidin Hassan menyuarakan keyakinan menjelang final Piala Malaysia 2024/25 yang akan menyaksikan pertembungan antara Sri Pahang FC dan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut Zainal, pertemuan kedua-dua pasukan ini adalah momen yang dinanti-nantikan penyokong bola sepak terutama selepas kali terakhir mereka bertemu di final pada Piala Malaysia 2014.
“Bagi saya, ini final yang dinanti-nantikan kedua-dua penyokong. Sri Pahang menyerlah di Piala Malaysia, sementara JDT tetap juara liga yang dominan. Piala Malaysia adalah trofi yang dikejar pemain tempatan dan kedua-dua pasukan pastikan akan memberikan segalanya.
Bola itu bulat. Kita pernah lihat banyak kejutan terjadi, seperti 2014 jadi JDT pasti akan lebih berhati-hati, sementara Sri Pahang akan bermain tanpa tekanan. Ini adalah peluang mereka untuk bersinar,”
katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Malaysian Football League (MFL) semalam.
Dalam pada itu, dalam kehangatan final timbul pula khabar angin yang mengatakan dua pasukan gergasi iaitu Sri Pahang dan Kedah Darul Aman FC tidak akan beraksi lagi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.
Zainal yang sedar mengenai perkara itu berkata buat masa ini tiada sebarang pengesahan mengenai perkara tersebut dan beliau berharap agar kedua-dua kelab elit itu akan terus mewarnai kancah bola sepak tanah air.
“Biarlah pengurusan yang urus isu liga. Pemain perlu fokus ke final. Sri Pahang adalah pasukan elit yang harus tetap bertahan di liga teratas. Jika mereka hilang, itu kerugian besar bagi liga kita.
Kedah juga pasukan elit. Masih ada masa untuk perbincangan jadi kita berdoa agar Mereka dapat ‘tonik’ untuk bertahan di Liga Super.”
Tegas Zainal yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lagi, penting untuk pasukan berpengaruh seperti Sri Pahang dan Kedah untuk kekal dalam kancah bola sepak tanah air demi kemajuan liga kerana mereka mempunyai sejarah yang cukup panjang.
Malah beliau berkata sekiranya kedua-dua pasukan itu ‘hilang’, liga akan merosot.
Sementara itu, Zainal yang pernah mengendalikan Melaka FC turut gembira dengan kejayaan pasukan itu menjuarai liga semi-profesional Liga A1 pada musim ini sekaligus menyaksikan mereka bakal kembali ke Liga Super pada musim hadapan.
“Ini yang kita mahukan. Liga perlu pasukan yang kompetitif.”