Wan Rohaimi mahu turunkan pemain muda dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super

Meskipun tewas 0-3 kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Bandaraya malam tadi, ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, tetap melihat sisi positif daripada prestasi skuadnya.
Wan Rohaimi memuji semangat juang pemain muda yang diturunkan menjadi modal berharga menjelang baki tiga perlawanan musim ini.
“Mereka mungkin terlalu menghormati JDT, menyebabkan permainan goyah dalam 25 minit pertama. Namun selepas itu, mereka mula tenang dan mengawal situasi.
Mereka tidak hilang tumpuan dan berjuang habis-habisan. Ini patut dipuji, apatah lagi kami kehilangan empat pemain utama hari ini,”
katanya.
Jelas Wan Rohaimi lagi, memandangkan beliau kekurangan pemain membuatkan beliau menurunkan beberapa pemain muda yang mana ia ternyata membuahkan hasil yang cukup positif.
“Haziq dan Izzat memberi sumbangan memuaskan. Tenaga dan semangat mereka luar biasa. Jika pemain muda boleh tampil mantap melawan JDT, saya yakin mereka bersedia untuk perlawanan akan datang.”
Dalam pada itu, menjelang baki tiga perlawanan Bermula menentang Negeri Sembilan FC pada 5 April nanti, beliau meletak sasaran untuk mengutip tiga mata penuh.
“Saya optimis. Pemain sudah diingatkan untuk tidak lagi mensia-siakan peluang. Kita perlu berada di kedudukan yang sewajarnya di akhir musim.”
Penang kini berada di tangga ke-10 liga dengan 20 mata dengan tiga perlawanan terakhir akan menentukan sama ada mereka mampu mengekalkan kedudukan atau terlibat dalam zon penyingkiran.