Pembubaran Piala MFL & ketiadaan Liga Premier: Langkah drastik demi masa depan Liga Super?

713

Saingan Liga Super Malaysia musim 2024/25 bakal berakhir tidak lama lagi, namun perbincangan mengenai masa depan liga sudah mula memanas. 

Isu kewangan yang melanda beberapa kelab, termasuk tunggakan gaji mencecah 10 bulan, mencetuskan spekulasi tentang perubahan struktur liga musim depan. 


Antara langkah drastik yang didakwa sedang dipertimbangkan oleh Malaysian Football League (MFL) adalah pembubaran Piala MFL (Liga Simpanan B-23) dan kekal tidak memperkenalkan semula Liga Premier sebagai divisyen kedua untuk musim hadapan.

Musim 2024/25 menyaksikan Liga Super bergelut dengan masalah kewangan yang parah dengan dua pasukan gergasi, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC, dikhabarkan tidak akan bersaing dari saingan Liga Super musim depan akibat ketidakstabilan kewangan. 

Walaupun KDA sudah menafikan khabar angin tersebut melalui kenyataan rasmi, situasi di Sri Pahang masih kabur kerana pasukan itu sedang fokus ke final Piala Malaysia pada 12 April.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, mesyuarat bersama 13 kelab Liga Super baru-baru ini berlangsung positif di mana kesemua pasukan mahu terus kekal bermain musim depan.

Kesemua kelab sedang berusaha melengkapkan dokumen untuk permohonan Lesen Kebangsaan musim depan dan Kedah antara enam kelab yang memohon Lesen AFC, petanda jelas mereka ingin terus bersaing di peringkat tertinggi.

Isu utama yang membelenggu Liga Super ialah kos operasi tinggi, termasuk gaji pemain, jurulatih, dan logistik, ditambah dengan kekurangan penajaan serta sokongan penyokong. Ramai peminat mempersoalkan keperluan Piala MFL (untuk pemain B-23) dan Liga Premier jika kelab utama sendiri tidak mampu bertahan selain jumlah pasukan semakin sedikit.

Dengan membubarkan Piala MFL dan tidak memperkenalkan semula Liga Premier, MFL mungkin ingin mengurangkan beban kewangan kelab. 

Tanpa skuad simpanan atau pasukan kedua, dana boleh dialihkan untuk mengukuhkan pasukan utama. 

Langkah ini juga dijangka meningkatkan kualiti permainan melalui pemain import berkualiti dan pembangunan akademi yang lebih fokus.

Kesan Langkah Drastik Ini

Pengurangan Kos Operasi: Kelab tidak perlu menanggung kos tambahan untuk menguruskan skuad B-23 atau pasukan kedua.

Penumpuan pada Pasukan Utama: Sumber kewangan terhad boleh digunakan untuk memperkukuh skuad utama, meningkatkan daya saing liga.

Tarikan Pelabur: Liga yang lebih stabil dan berkualiti mampu menarik minat penaja dan siaran televisyen, seterusnya menjana pendapatan.

Namun, langkah ini turut menimbulkan kebimbangan kerana pemain muda mungkin kehilangan platform seperti Piala MFL untuk menimba pengalaman, manakala kelab kecil yang beraksi di liga divisyen 3 atau dikenali sebagai Liga A1 tidak akan mampu untuk terus naik ke liga utama dek perlukan dana berlipat ganda.

Mampukah Liga Super Bangkit Semula?

Krisis kewangan bukan isu baru, tetapi ia semakin parah sejak pandemik COVID-19. Jurang kewangan antara pasukan “kaya” (seperti JDT & Selangor FC) dan pasukan “miskin” menyebabkan liga kurang seimbang. 

Jika MFL serius melaksanakan perubahan ini, Liga Super mungkin mampu:

– Meningkatkan integriti kewangan kelab.

– Menghasilkan perlawanan lebih sengit dan menarik.

– Membina asas kukuh untuk menarik pelaburan jangka panjang.

Walaupun langkah ini kelihatan radikal, ia mungkin diperlukan untuk mengelak liga terus tenggelam dalam krisis kerana “Kestabilan kewangan adalah kunci.” 

Keputusan akhir terletak di tangan MFL, yang dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi. 

Bagi peminat bola sepak tanah air, mereka hanya mampu berharap langkah ini bukan sekadar “ubat tidur”, tetapi permulaan kebangkitan semula liga tercinta.