Mampukah skuad bola sepak pantai Harimau Malaya cipta kejutan di Piala Asia?

56

Skuad bola sepak pantai Harimau Malaya kini dalam misi mengharumkan nama negara di Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025, yang bakal berlangsung di Pattaya, Thailand dari 20 hingga 30 Mac 2025. 

Bagi menghadapi kejohanan ini, ketua jurulatih Mohd Saiful Md Noor telah memilih 12 pemain terbaik daripada 25 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat di Kuala Terengganu dari 4 hingga 16 Mac 2025.


Kekuatan skuad kali ini jelas tertumpu kepada pemain-pemain dari Terengganu, negeri yang terkenal sebagai kuasa besar bola sepak pantai Malaysia. 

Selain itu, pemain dari Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor juga melengkapkan pasukan dengan pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan D, di mana mereka bakal berdepan lawan-lawan sukar seperti Bahrain (21 Mac), Oman (23 Mac), dan Vietnam (25 Mac).

Dua pasukan teratas akan mara ke suku akhir (27 Mac 2025), pemenang suku akhir akan ke separuh akhir (29 Mac 2025) dan final akan berlangsung pada 30 Mac 2025 untuk menentukan juara Asia!

Dalam pada itu, biarpun skuad negara bukan pasukan pilihan tetapi Malaysia sentiasa memberi saingan sengit dalam kejohanan sebelum ini dan jika mereka dapat mengekalkan fokus dan disiplin tidak mustahil mereka mampu mencipta kejutan.

Skuad bola sepak pantai Malaysia mungkin ‘underdog’, tetapi semangat juang mereka tidak boleh dipandang rendah. 

Jika mereka berjaya mengatasi cabaran di peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir, ia sudah menjadi satu pencapaian membanggakan.

Mampukah Harimau Malaya melakar kejutan di Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025? 

Sama-sama kita nantikan!