Soloz terbuka untuk kolaborasi jika ia beri manfaat besar kepada Team Vamos

Pengasas pasukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Team Vamos, Soloz terbuka untuk menjalin kerjasama atau kolaborasi seperti OG yang menjalin kerjasama dengan Selangor Red Giants (SRG) baru-baru ini.
“Kalau ada tawaran yang ‘worth it’ untuk kita ambil, mengapa tidak? Kita akan pertimbangkan jika ia membawa manfaat besar kepada pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Soloz, kerjasama strategik seperti ini bukan Sahaja membantu kewangan pasukan tetapi juga memberi akses kepada sumber latihan dan teknologi yang lebih baik.
Soloz berkata demikian ketika ditemui pada majlis yang menyaksikan Team Vamos kini ditaja oleh syarikat gergasi realme.
Beliau berkata realme menjadi pilihan utama kerana keutamaan mereka terhadap ‘gaming performance’, sesuatu yang amat diperlukan oleh pemain profesional.
“Setakat ini, realme antara jenama yang lebih mengutamakan gamers. Banyak jenama lain yang lebih fokus pada kamera atau ketahanan, tetapi realme lebih kepada gaming. Itu sebabnya kolaborasi ini terjadi kerana ia memenuhi keperluan saya dan juga pasukan Vamos.”
Dalam pada itu, Team Vamos yang berjaya membuat kejutan pada penampilan pertama mereka dalam saingan Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) musim lalu bakal tampil dengan strategi baru untuk musim terbaru nanti.
Malah mereka menjadi tumpuan apabila telah membawa masuk jurulatih baharu dari Myanmar sekaligus cukup berbeza dengan pasukan lain yang kebanyakan cenderung mengambil jurulatih Indonesia atau Filipina.
“So far, untuk coach baru ni mungkin ramai akan tertanya-tanya sebab kita ambil coach dari Myanmar. Sebelum ini, kebanyakan pasukan lebih memilih coach dari Indonesia atau Filipina, tapi kita nak cuba adaptasi gameplay Myanmar. Jadi, sama-sama kita nantikan bagaimana ia akan memberi impak kepada pasukan.”
Pendekatan ini menunjukkan keberanian Team Vamos dalam mencuba sesuatu yang baharu, sekaligus menjadikan mereka pasukan yang sukar dijangka oleh lawan.
Sementara itu, seperti kebiasaan Team Vamos suka bermain teka-teki mengenai pengumuman pemain baharu mereka.
Walaupun peminat tidak sabar untuk mengetahui siapa yang bakal menyertai pasukan, Soloz menegaskan bahawa semua akan terjawab pada waktu yang tepat, kemungkinan besar ketika MPL.
“Diorang target coaching staff dulu. Tapi diorang nak main teka-teki lagi, jadi biarlah mereka yang uruskan. Cumanya benda tu akan diumumkan nanti waktu MPL rasanya.”
Bagi sasaran musim ini, Soloz menetapkan roadmap selama dua musim di mana matlamat utamanya adalah untuk mara ke playoff.