Skuad Harimau Malaya yang terdiri daripada pemain lokal, itu cita-cita saya – Mohd Joehari

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub bertekad mahu memperhebat program pembangunan bola sepak di negara ini supaya skuad bola sepak kebangsaan tidak perlu lagi bergantung kepada pemain warisan dan naturalisasi pada masa hadapan.
Katanya, perkara itu menjadi fokus utamanya buat masa ini dan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan bola sepak negeri di seluruh negara.
“Saya tekankan bahawa program pembangunan akar umbi akan lebih dimantapkan, matlamat kita adalah untuk kita dapat satu pasukan yang terdiri daripada pemain-pemain lokal pada masa hadapan, itu adalah cita-cita saya.
Tetapi untuk jangka masa pendek ini, apa yang perlu kita buat, kita buat. Kalau kita perlu ambil pemain naturalisasi atau warisan untuk kuatkan pasukan, itu tidak jadi masalah,”
katanya.
Tambahnya, beliau akan memulakan jelajah ke seluruh negeri bagi bertemu persatuan bola sepak negeri dalam masa terdekat bagi melaksanakan program pembangunan yang dirancang.
Jelasnya, pihak FAM akan mengadakan bengkel bersama persatuan bola sepak negeri untuk menggerakkan program pembangunan tersebut.
Beliau berharap pihak kerajaan negeri dan juga pertubuhan bukan kerajaan dapat memberi sokongan kepada inisiatif yang bakal dilakukan itu.
Sementara itu, beliau menolak kata-kata netizen mengenai dua pemain warisan baharu negara, Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang disifatkan sebagai ‘gred D’.
“Yang kita tahu, pemain warisan baharu yang hadir ini adalah dari tahap yang tinggi, jadi kita lihat saja sampai mana mereka akan pergi dengan pasukan negara.”
Sementara itu, Joehari menyeru para penyokong dapat hadir memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya dałam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Selasa depan.
Beliau berharap Malaysia yang dipimpin Peter Cklamovski dapat mencatat kemenangan besar sebelum bertemu pasukan yang lebih kuat seperti Vietnam.