Sri Pahang FC sambut baik penangguhan final Unifi Piala Malaysia ke 26 April 2025

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang, menyambut baik keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk menukar tarikh final Unifi Piala Malaysia 2024/2025 kepada 26 April 2025, yang dianggap sebagai langkah bijak bagi memberi ruang kepada penyokong merancang perjalanan dengan lebih baik.
Menurut Datuk Mohammed Suffian, perubahan tarikh ini adalah keputusan yang tepat kerana tarikh asal pada 12 April jatuh terlalu awal dalam tempoh perayaan, yang boleh menyukarkan penyokong untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Bagi Sri Pahang FC, kami memahami situasi musim perayaan dan tidak mahu penyokong berdepan dengan kesukaran dalam merancang perjalanan mereka, membeli tiket, dan sebagainya,” katanya.
Selain memberi manfaat kepada penyokong, perubahan tarikh ini turut memberikan kelebihan kepada pasukan, di mana pemain dan jurulatih mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan persiapan yang rapi tanpa perlu tergesa-gesa.
“Bukan sahaja penyokong, malah pemain dan jurulatih juga mendapat lebih masa untuk latihan intensif. Mereka tidak perlu memikirkan untuk pulang ke kampung dalam masa yang singkat,” tambahnya.
Beliau juga berharap agar penyokong kedua-dua pasukan, Sri Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT), dapat menggunakan kesempatan ini untuk merancang perjalanan dengan lebih baik dan memberikan sokongan padu pada 26 April nanti.
Terdahulu, MFL secara rasmi mengumumkan bahawa aksi final Piala Malaysia akan diadakan pada 26 April 2025, jam 9.00 malam di SNBJ.
Keputusan ini dibuat selepas MFL menerima permohonan rasmi dari Sri Pahang, selain mendapat persetujuan bersama daripada JDT.
Bagi penyokong yang telah membeli tiket fizikal dan e-tiket dengan tarikh asal 12 April 2025, MFL mengesahkan bahawa tiket tersebut masih sah untuk digunakan bagi perlawanan akhir pada 26 April 2025.
Perlawanan akhir ini bakal menjadi detik bersejarah buat Sri Pahang, yang sudah lama tidak beraksi di pentas final, manakala JDT berusaha untuk mempertahankan kejuaraan mereka.
Dengan tarikh baharu ini, adakah Sri Pahang mampu mencipta kejutan menewaskan JDT, atau adakah Harimau Selatan akan terus menguasai bola sepak Malaysia?
Sama-sama kita nantikan final epik Piala Malaysia pada 26 April nanti!