Homebois bangkit, sedia beri saingan di MPL musim ke-15 – Naaz

18

Pasukan Homebois terpaksa akur sebagai naib juara Piala Esports Malaysia 2025 selepas tewas 3-1 kepada Vamos dalam perlawanan Grand Final yang berlangsung sengit. 

Namun, bagi Analyst pasukan Homebois, Naaz, kejohanan ini bukan sekadar ujian tetapi juga pengalaman berharga buat pasukannya yang semakin menunjukkan perkembangan positif.


Menariknya, Naaz bukan berasal dari latar belakang esports profesional. 

Beliau merupakan seorang pemain kasual sebelum menyertai Homebois selepas melihat iklan pencarian bakat oleh pengasas pasukan.

“Saya memang bukan dari latar belakang esports, sekadar pemain biasa. Tapi bila saya nampak posting dari Homebois, saya cuba nasib saja dan Alhamdulillah, rezeki menyebelahi saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebagai Analyst pasukan, Naaz memainkan peranan penting dalam menganalisis gameplay dan meningkatkan keserasian pasukan. 

Walaupun belum sebulan bersama, beliau melihat perkembangan positif dalam kalangan pemain Homebois.

“Saya lebih kepada buat analisis gameplay dan memperkuat chemistry antara pemain. Saya nampak perkembangan pasukan ini sangat bagus dalam tempoh yang singkat.”

Naaz turut mendedahkan bahawa beliau mula berminat dalam Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sejak tahun 2017, setahun selepas permainan itu dilancarkan.

“Saya main ML sejak 2017 dan mula mengikuti MPL sejak musim pertama MYSG. Dari situ, minat saya terhadap esports semakin mendalam.”

Apabila mendapat peluang menyertai Homebois, beliau tidak teragak-agak untuk mencuba nasib dalam arena profesional.

Dalam pada itu, selepas prestasi cemerlang dalam Piala Esports Malaysia, Naaz optimis bahawa Homebois mampu memberi saingan sengit dalam MPL Malaysia akan datang.

“Memang ada tekanan, tetapi selepas melihat prestasi pasukan di Piala Esports Malaysia ini, saya yakin Homebois mampu berada dalam top 3 MPL Malaysia nanti.”

Walaupun sasaran top 3 bukanlah satu keperluan rasmi daripada pihak pengurusan, Naaz percaya Homebois mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Apabila ditanya mengenai pemain yang paling meningkat sepanjang kejohanan, Naaz menyebut nama Mel, bekas pemain MPL yang sebelum ini turun beraksi di liga MAL.

“Bagi saya, Mel menunjukkan peningkatan paling ketara. Dia pernah bermain di MPL, turun ke MAL, dan kini kembali ke MPL. Dengan gameplay yang ditunjukkan di Piala Esports Malaysia ini, saya rasa dia telah membuktikan kemampuan sebenarnya.”

Sementara itu, walaupun gagal menjulang trofi Piala Esports Malaysia 2025, Homebois menunjukkan potensi besar untuk bangkit dalam MPL Malaysia yang akan datang. Dengan persediaan rapi dan peningkatan prestasi pemain, pasukan ini dijangka mampu memberi saingan sengit kepada gergasi esports Malaysia.

Adakah Homebois akan mencapai sasaran top 3 MPL Malaysia? 

Sama-sama kita nantikan aksi mereka dalam musim baharu nanti!