Matthew Davies yakin Harimau Malaya akan mulakan kempen kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan

Pemain kebangsaan, Matthew Davies menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan pasukan kebangsaan Malaysia untuk memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan esok.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi dalam aksi pertama Kumpulan F menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Walaupun hanya lapan hari latihan, kami berjaya mempelajari banyak konsep baharu daripada jurulatih. Persiapan kami berjalan lancar, dan saya yakin kami boleh memulakan kempen ini dengan langkah yang betul,”
katanya.
Matt pada masa sama turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada DYAM Tengku Mahkota Johor (TMJ) atas sokongan yang diberikan kepada skuad kebangsaan seperti menyediakan kemudahan latihan yang tersedia di Johor membantu mempercepatkan proses penyesuaian pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski.
Jelasnya lagi, semangat dalam kem berada pada tahap tertinggi, dan para pemain sudah tidak sabar untuk beraksi serta memulakan perjalanan ke Piala Asia dengan keputusan yang positif.
Dalam pada itu, Matt yang beraksi di posisi bek kanan gembira melihat skuad negara kini mempunyai ramai pemain berbakat di posisi itu dan menganggap kehadiran lebih ramai pemain berkualiti di setiap posisi adalah satu kelebihan buat pasukan.
“Persaingan adalah perkara yang baik untuk pasukan. Kami memerlukan dua atau tiga pemain yang mampu bersaing di setiap posisi bagi meningkatkan prestasi keseluruhan pasukan.”
Dalam pada itu, Matt turut mengakui pasukan Nepal yang mereka akan temui esok bukanlah pasukan lawan yang sama seperti sebelum ini kerana mereka kini berada dalam prestasi terbaik selepas baru sahaja berjaya menewaskan Singapura.
“Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka. Kami perlu menghormati mereka sebagai lawan yang berpotensi memberikan cabaran sengit. Tetapi pada masa yang sama, fokus utama kami adalah kepada diri sendiri.”
Sementara itu, Matt yang merupakan salah seorang pemain yang beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar sebelum ini mahu sekali lagi membantu skuad negara untuk layak ke kejohanan berprestij di Asia itu sekali lagi.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha besar untuk layak ke Piala Asia. Kami mempunyai skuad yang menarik, dan setiap hari kami bekerja keras untuk mencapai matlamat itu. Kami mahu menjuarai kumpulan ini. Itu matlamat kami.”