Nasib pemain muda tempatan pasca-pemansuhan Piala MFL

185

Keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk memansuhkan Piala MFL (kejohanan bawah 23 tahun) mulai musim 2025-2026 mencetuskan pelbagai reaksi tentang masa depan pembangunan pemain muda tempatan. 

Tindakan ini, yang didorong oleh tekanan kewangan kelab dan perubahan pendekatan terhadap pembangunan bakat, meninggalkan kesan mendalam terhadap ekosistem bolasepak negara.


Piala MFL diperkenalkan pada 2023 sebagai platform untuk pemain B-23 mendapatkan pengalaman kompetitif, selari dengan kriteria pelesenan AFC. 

Namun, selepas dua musim, kos operasi mencecah RM28 juta (ditanggung 13 kelab Liga Super) menjadi faktor utama pemansuhan. 

Ia berikutan kelab mengadu beban kewangan akibat gaji pemain, pengurusan logistik, dan kekangan jadual padat.

Menerusi satu kenyataan rasmi oleh MFL sendiri memberi penekanan bahawa pemain berusia 20 hingga 23 tahun sepatutnya bersaing untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama dan bukan lagi bermain di liga peringkat umur.

Bagaimanapun persoalannya, adakah kelab benar-benar bersedia untuk memberi peluang kepada pemain muda ini?

Suka atau tidak keputusan itu terpaksa dibuat demi kelangsungan liga tanah air namun sudah pastinya akan memberi kesan kepada pemain muda:

Kekurangan Platform Kompetitif

Pemain B-23 kini kehilangan satu-satunya liga khusus untuk mereka. Tanpa Piala MFL, pemain yang gagal menembusi skuad utama terpaksa “tersadai” atau dipinjamkan ke liga bawah (Liga M3/M4), yang kualitinya jauh lebih rendah. Risiko stagnasi perkembangan dan kurangnya pendedahan kompetitif menjadi ancaman utama.

Tekanan ke Atas Piala Presiden & Belia

Dengan hanya Piala Presiden (B20) dan Piala Belia (B18) yang aktif di bawah FAM, pemain berusia 20-23 tahun mungkin “terperangkap” dalam sistem. Mereka yang terlalu matang untuk Piala Presiden tetapi belum cukup baik untuk skuad utama berdepan risiko kehilangan arah tuju.

Dalam pada itu, pemansuhan ini dijangka menjimatkan kos kelab, tetapi ia berpotensi mengurangkan komitmen mereka dalam melahirkan bakat baharu.

Pandangan MFL yang merasakan pemain yang sudah berusia 20 tahun ke atas sudah perlu bersaing di peringkat senior adalah benar dan seseorang pemain tersebut perlu memastikan beliau menjadi yang terbaik untuk rebut tempat dalam skuad utama.

Berdasarkan situasi semasa, nampaknya khabar angin yang sebelum ini mengatakan MFL akan memperkenalkan semula liga divisyen 2 iaitu Liga Premier tampaknya tidak akan menjadi kenyataan susulan masalah kewangan yang berlaku pada kebanyakan kelab ketika ini.

Sementara itu, nasib pemain muda kini bergantung pada sejauh mana kelab dan pengurusan liga serius dalam mereformasi sistem. 

Jika pemansuhan Piala MFL hanya sekadar langkah jimat kos tanpa strategi pengganti, ia bukan sahaja melambatkan perkembangan bakat malah boleh mencacatkan masa depan pasukan kebangsaan Harimau Malaya di pentas Asia.