Nasib Indra Putra, Wan Zack & Syamim Yahya bersama Perak FC masih jadi tanda tanya
Selepas pintu perpindahan pertama Liga Malaysia melabuhkan tirai pada 22 Februari, pasukan Perak FC masih lagi gagal melunaskan hutang yang tertunggak. Kesannya, mereka tidak dibenar mendaftarkan pemain-pemain baru untuk musim 2022 dan hanya dibenarkan menggunakan pemain yang sedia ada.
Dikatakan pasukan Perak FC hanya dapat menggunakan 20 pemain yang sedia ada daripada skuad musim lepas untuk berjuang dalam liga yang terdiri daripada pemain-pemain Piala Presiden dan Piala Belia.
Hal ini sudah semestinya menimbulkan persoalan kepada peminat bola sepak terutamanya penyokong bola sepak Perak. Jika sekiranya bebanan hutang masih lagi tidak dapat diselesaikan biarpun selepas pintu perpindahan kedua dibuka pada bulan Mei, adakah pasukan ini akan dapat bertahan?
Perak FC sebenarnya telah menandatangani tiga pemain yang mempunyai nama besar dalam kancah bola sepak tempatan. Siapa tidak kenal Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Syamim Yahya?
Mereka ini sepatutnya beraksi mewakili skuad Liga Perdana Perak FC untuk musim 2022 dalam misi untuk membantu pasukan untuk kembali beraksi di liga atasan bola sepak negara. Namun, pintu perpindahan sudah ditutup, sehingga kini tidak dapat dipastikan apa status pemain-pemain ini bersama pasukan.
Dikhabarkan mereka sedang berlatih bersama pasukan dan terpaksa menunggu sehingga bulan Mei sebelum boleh didaftarkan kembali. Namun tanpa sebarang aksi kompetitif untuk tempoh yang lama, dikhuatiri apakah mereka akan dapat mempamerkan aksi yang berkualiti membantu pasukan Perak FC dalam Liga Perdana.
Indra Putra misalnya sudah menginjak usia 41 tahun pada musim ini, jika tanpa sebarang aksi sementara menanti pintu perpindahan dibuka kembali, ianya dikhuatiri akan memberi kesan kepada prestasi beliau dalam membantu pasukan.
Sudahlah dibebani isu tunggakan hutang lapuk, kehadiran pemain-pemain bertaraf bintang ini sudah pasti akan mendatangkan kos yang tinggi terutamanya gaji mereka. Tidak dapat dipastikan bagaimana pengurusan pasukan mahu mencari dana untuk digunakan bagi membayar gaji pemain-pemain berpengalaman ini.
Jika sehingga bulan Mei isu ini masih tidak dapat diselesaikan, adakah pengurusan pasukan akan menamatkan kontrak dan mereka seterusnya akan bertaraf free agent bagi membolehkan mereka beraksi dengan pasukan baharu?
Adakah kehadiran mereka ke Perak FC sia-sia sekiranya tidak dapat beraksi langsung walaupun seminit di atas padang? Itu persoalan yang ingin dirungkaikan oleh peminat-peminat bola sepak Perak.