Faisal Halim ‘on fire’! ‘Comeback’ bersama Harimau Malaya yang cukup mengujakan

Kemenangan 2-0 Harimau Malaya ke atas Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027 bukan sekadar tiga mata berharga, tetapi juga menyaksikan kemunculan semula pemain sayap sensasi Faisal Halim selepas setahun dek tragedi hitam yang berlaku padanya.
Menurut Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey, beliau tidak dapat menyembunyikan emosinya apabila beliau dimasukkan pada separuh masa kedua.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada rakyat Malaysia, FAM, Coach Peter Cklamovski, dan Tunku Mahkota Johor yang terus memberi sokongan. Hampir setahun saya tak memakai jersi kebangsaan… rindu ini sangat rindu.
Banyak lagi perlu diperbaiki, tapi ini permulaan terbaik. Tahun baru untuk saya bangkit semula,”
katanya.
Tambahnya lagi, beliau sedar bahawa prestasinya masih belum mencapai tahap terbaik, tetapi beliau bertekad untuk terus bekerja keras untuk cari semula rentak sekaligus membuktikan beliau mampu kembali ke prestasi sebenar.
Dalam pada itu, ditanya mengapa beliau menyahut cabaran Coach Peter meski masih dalam pemulihan, Mickey berkongsi kisah perbualan intim dengan jurulatih itu.
“Coach Peter jumpa saya seminggu sebelum senarai skuad diumumkan. Dia tanya, ‘Miki, kalau saya pilih awak, awak 100% bersedia?’ Saya jawab, ‘Ya, Coach.’ Ini masa untuk saya kembali bantu pasukan.
Ini peluang terbesar selepas kejadian lalu jadi saya guna ia sebaik mungkin untuk keluarga dan rakyat Malaysia.”
Sementara itu, skuad negara yang memulakan kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan mengutip tiga mata penuh namun berada di kedudukan kedua di belakang Vietnam yang turut mengumpul tiga mata namun mempunyai kelebihan jaringan.
Malaysia perlu memastikan tidak keciciran mata sepanjang kempen kali ini kerana hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027.