Hector Hevel cemerlang debut bersama Harimau Malaya

65

Pemain tengah warisan baharu Harimau Malaya, Hector Hevel menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan sulungnya bersama skuad kebangsaan dengan menyumbang satu gol dalam kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Nepal dalam aksi pertama Kumpulan F pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Gol Hector hadir pada minit ke-29 menerusi satu rembatan padu dari luar kotak penalti, yang terhasil daripada serangan tersusun pasukan serta kawalan bola kedua yang berkesan. 


Kejayaan ini menjadi permulaan manis bagi pemain naturalisasi itu yang baru menyertai skuad Harimau Malaya.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini dan juga prestasi pasukan. Gol ini terhasil daripada permainan pasukan yang baik. Kadang-kadang apa yang kita inginkan berlaku dengan sempurna, dan itulah yang terjadi malam ini,”

katanya.

Menurut Hector, biarpun beliau mempunyai tempoh yang singkat tetapi sokongan daripada rakan sepasukan dan staf kejurulatihan telah membantunya menyesuaikan diri dengan cepat.

“Saya hanya mempunyai sekitar enam atau tujuh hari sebelum perlawanan pertama ini, jadi saya perlu menyesuaikan diri dengan cepat. Komunikasi sangat penting dalam proses ini. Kami banyak berbincang dan bekerja keras di padang latihan untuk memastikan semuanya berjalan lancar.”

Dalam pada itu, Hector yang teruja dengan projek revolusi bola sepak Malaysia membuatkan beliau mahu menjadi sebahagian daripada usaha untuk mencapai kejayaan.

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan skuad negara untuk ke pusingan akhir Piala Asia 2027 sekiranya mereka mengekalkan prestasi cemerlang.

“Jika kami terus meningkatkan prestasi seperti sekarang, kami mempunyai peluang yang baik untuk mara ke peringkat seterusnya. Namun, masih ada cabaran besar menanti, jadi kami perlu bekerja lebih keras dan memperbaiki kelemahan.”

Sementara itu, Hector turut meluahkan kegembiraannya kerana dapat membuat debut bersama Malaysia di hadapan ribuan penyokong yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“Ini adalah salah satu hari terbaik dalam hidup saya. Berpeluang bermain untuk sebuah negara adalah satu penghormatan besar. Saya sangat gembira kerana kami berjaya memberikan kemenangan kepada penyokong dan membuat mereka berbangga dengan pasukan ini. Itu adalah matlamat utama kami.”