Pemansuhan Piala MFL dapat maklum balas positif dari pihak kelab

Keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk memansuhkan kejohanan Piala MFL bagi musim 2025/2026 telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pihak berkepentingan bola sepak tempatan.
Ada yang melihatnya sebagai cabaran besar buat pemain muda, manakala ada juga yang menganggapnya sebagai peluang untuk mereka lebih berusaha dan berkembang dalam persaingan yang lebih kompetitif.
Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Olleranshaw menegaskan bahawa ketiadaan Piala MFL bukanlah pengakhiran karier bagi pemain muda.
Sebaliknya, mereka harus lebih kreatif dan proaktif dalam mencari peluang untuk membuktikan kebolehan mereka kepada kelab-kelab yang bersaing di Liga Super atau Liga A1 Semi Pro.
“Mereka perlu lebih kreatif untuk mencari peluang, jangan hanya menunggu tanpa berbuat apa-apa. Jika perlu bermula di divisyen yang lebih rendah, ambil sahaja peluang itu,”
katanya.
Menurut Olleranshaw, pemain muda tidak boleh bergantung kepada satu kejohanan sahaja untuk membina karier mereka. Sebaliknya, mereka harus berusaha untuk menonjolkan kualiti yang ada dengan menyertai pasukan lebih kecil, membina jaringan hubungan dengan kelab, dan memastikan mereka sentiasa bersedia untuk diserap masuk ke pasukan utama apabila diperlukan.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew pula menyambut baik keputusan pemansuhan Piala MFL, terutama dari sudut kestabilan kewangan kelab dalam jangka masa panjang.
“Keputusan ini dibuat apabila nilai komersial kejohanan ini tidak dapat dilihat dalam tempoh 12 bulan terakhir. Kita tidak mahu membebankan pasukan dengan kos tambahan yang tinggi.”
Menurut Chew, cabaran utama bagi pemain bawah 23 tahun adalah untuk meningkatkan kualiti mereka bagi bersaing di peringkat lebih tinggi. Baginya, pemansuhan ini akan memberi tekanan positif kepada pemain muda untuk lebih matang dan bersedia dalam saingan Liga Super.
“Mereka kini perlu berusaha lebih keras kerana persaingan akan lebih tinggi. Saya percaya ini adalah satu langkah ke hadapan yang harus diterima dengan positif.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Sabri Abas percaya bahawa sudah tiba masanya kelab-kelab Liga Super memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka.
Beliau memberi contoh bagaimana Terengganu FC sering mengetengahkan pemain muda berbakat seperti Zachary Zahidadil dan Danial Mohd Nor, yang pernah diberikan debut dalam aksi Liga Super.
“Kami di Terengganu sentiasa melihat pemain muda sebagai aset penting. Mereka perlu diberikan peluang untuk menimba pengalaman bersama pemain utama,”
Bagi Mohd Sabri, pemansuhan Piala MFL bukanlah satu halangan, tetapi sebaliknya satu peluang bagi pemain muda untuk bersaing di liga yang lebih kompetitif.
“Sekarang adalah masa terbaik untuk kelab memberi kepercayaan kepada pemain muda dan memberi mereka lebih banyak minit permainan dalam liga utama.”
Walaupun pemansuhan Piala MFL membawa cabaran kepada pemain muda, ia juga membuka ruang kepada mereka untuk membina karier dengan cara yang lebih mencabar dan berdaya saing.
Pemain kini perlu lebih agresif dalam mencari peluang, kelab perlu lebih terbuka dalam memberi ruang kepada bakat muda, dan ekosistem bola sepak Malaysia harus terus berkembang ke arah liga yang lebih kompetitif dan berkualiti.
Adakah pemansuhan ini akan membawa kesan positif atau negatif kepada pembangunan bola sepak negara? Hanya masa yang akan menentukan.