Kemenangan yang sangat bermakna untuk Malaysia dalam langkah seterusnya – Corbin Ong

Pemain pertahanan Harimau Malaya, La’Vere Corbin-Ong meluahkan rasa gembira selepas Malaysia berjaya menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Kemenangan ini bukan sahaja memberi motivasi kepada pasukan, malah turut menandakan permulaan positif bagi skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan kali ini.
“Saya sangat gembira untuk pasukan. Terima kasih kepada pengurusan dan staf kejurulatihan atas kemudahan yang disediakan, termasuk padang latihan serta segala persiapan yang dilakukan.
Semuanya berjalan dengan baik, dan yang paling penting, kami berjaya mendapatkan kemenangan yang sangat bermakna untuk Malaysia dalam langkah seterusnya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Corbin Ong juga mengakui bahawa pasukan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan falsafah yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan.
“Kami masih belum mempunyai banyak masa untuk bekerja bersama. Setakat ini, kami hanya berlatih selama seminggu. Namun, jurulatih sudah mula menerapkan falsafah permainan yang ingin dibawa.”
Beliau percaya bahawa dengan lebih banyak masa bersama, strategi dan corak permainan pasukan akan menjadi lebih tersusun dan efektif di atas padang.
Dalam pada itu, Corbin berkata kemenangan ini menjadi permulaan yang baik buat Harimau Malaya dan beliau yakin bahawa pasukan ini mampu berkembang dengan lebih baik di bawah bimbingan jurulatih baharu.
Dengan disiplin tinggi dan komitmen setiap pemain, Malaysia berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam kempen kelayakan ini.
Kini, tumpuan pasukan adalah untuk memperbaiki kelemahan, membina keserasian yang lebih kukuh, dan terus bekerja keras bagi memastikan kejayaan dalam perlawanan mendatang.