Kita komited membayar RM200,000 setiap bulan bagi memastikan pasukan mendapat lesen – Sanusi

Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa pihaknya tetap komited dalam menyokong dan membantu pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) meskipun berdepan pelbagai cabaran kewangan dan tuduhan tidak berasas.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam usaha memperkukuhkan bola sepak di Kedah, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang memberi sumbangan kepada pasukan dan staf KDA.
“Kita ucap terima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantu bola sepak Kedah, sama ada melalui sumbangan atau inisiatif lain. Begitu juga kepada mereka yang mengutip dan mengumpul dana untuk membantu staf dan pemain,”
katanya yang dipetik di laman sosial Facebook miliknya.
Sanusi turut mendedahkan bahawa KFA telah menanggung beban hutang yang ditinggalkan sebelum ini, termasuk tunggakan gaji dan komitmen kewangan lain.
“Ketika kita mengambil alih pasukan, kita perlu menanggung hutang sebanyak RM16 juta dengan tunggakan gaji selama empat bulan. Selain itu, terdapat tuntutan daripada badan perkanun serta komitmen kewangan untuk musim depan, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi RM30 juta.”
Beliau menegaskan bahawa pihaknya telah berusaha mencari dana dan mendapatkan sumbangan bagi menyelesaikan hutang tersebut, termasuk tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM1.9 juta kepada bekas pemain Liridon Krasniqi.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Sanusi menekankan bahawa KFA tetap menyalurkan bantuan sebanyak RM200,000 setiap bulan bagi memastikan KDA terus beroperasi dan mendapatkan lesen MFL untuk musim akan datang.
“Kita komited membayar RM200,000 setiap bulan bagi memastikan pasukan mendapat lesen. Selain itu, kita juga telah membantu dengan tambahan RM2 juta untuk memastikan kelangsungan KDA.”
Dalam pada itu, Sanusi juga meluahkan rasa kecewa terhadap tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada pihaknya, terutama dalam isu bantuan kepada bola sepak Kedah.
Beliau menegaskan bahawa segala usaha yang dilakukan adalah untuk memastikan bola sepak negeri terus berkembang, bukan untuk meraih kepentingan politik.
“Kalau kita membantu RM200,000, tapi ada yang mengkritik mereka yang menyumbang lebih banyak, itu merugikan. Jangan mempertikaikan kebajikan orang lain kerana ia boleh menghapuskan pahala kita sendiri.”
Beliau turut mengkritik tindakan yang didakwanya sebagai gangguan politik terhadap penyumbang KFA, termasuk siasatan oleh pihak berkuasa yang menyebabkan ramai penaja menarik diri.
“Sebelum ini, ramai penyumbang yang berminat untuk membantu, tetapi selepas siasatan oleh pihak tertentu, mereka mula menjauhkan diri. Ini memberi kesan besar kepada KFA dalam mendapatkan dana untuk pasukan.”
Sementara itu, Sanusi menegaskan bahawa beliau tidak mahu terjebak dalam permainan politik dan hanya mahu memberikan yang terbaik untuk bola sepak Kedah.
“Saya tidak mahu bermain politik dalam isu ini. Fokus saya adalah untuk memastikan pasukan terus bergerak ke hadapan dan mendapat sokongan yang sewajarnya.”
Dengan komitmen KFA yang berterusan, Sanusi berharap pasukan dan penyokong dapat terus bersatu demi memastikan bola sepak Kedah terus berkembang dan bersaing di peringkat tertinggi.