Dari Malaysia ke Vietnam: Kisah dua jurulatih muda menakluk bola sepak ASEAN

748

Dalam dunia bola sepak Asia Tenggara, pengalaman berkelana di luar negara bukan sekadar cabaran, tetapi juga peluang untuk berkembang. 

Dua nama dari Malaysia, Mashiedee Sulaiman (jurulatih kecergasan dan pembantu jurulatih) dan Idham Anuar (video analyst) dari kelab Vietnam, Nam Dinh FC, berkongsi pengalaman unik mereka di sana.


Dari adaptasi budaya hinggalah perbezaan sistem liga, kisah mereka mencerminkan semangat profesional Malaysia di persada antarabangsa.

Coach Mashiedee bukan nama asing dalam dunia bola sepak tempatan yang mana beliau pernah berkhidmat sebagai jurulatih kecergasan bersama Selangor FC II dan juga bersama skuad B-22 kebangsaan pada tahun 2019. 

Pengembaraannya di Vietnam bermula pada 2019, namun terhenti seketika akibat pandemik COVID-19 sebelum kembali menyertai semula Nam Dinh FC pada tahun 2023.

“Saya selalu fikir, apa yang membezakan saya dengan orang lain? Semua orang ada CV yang sama, jadi saya cuba cari kelebihan yang boleh buat saya lebih menonjol,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sementara itu, Coach Idham Anuar memulakan perjalanannya bersama Nam Dinh FC pada Mei 2024 selepas menerima tawaran melalui Coach Mashiedee. 

Sebelumnya, beliau pernah bersama skuad kebangsaan B-22 semasa AFC Piala Asia B-23 di Qatar.

Menurut Coach Idham, antara cabaran utama sebagai penganalisis video ialah komunikasi bersama ketua jurulatih dan pemain – lebih-lebih lagi dalam situasi bahasa yang berbeza. 

Namun, bantuan penterjemah dan usaha belajar bahasa Vietnam sedikit sebanyak membantu proses adaptasi.

“Sebagai analyst, komunikasi dengan ketua jurulatih sangat penting. Tapi Alhamdulillah, kami ada translator dan saya sendiri pun dah boleh bercakap sedikit dalam bahasa Vietnam.”

Dalam pada itu, Mashiedee turut berkongsi kekagumannya terhadap semangat pemain-pemain tempatan di Vietnam.

“Kalau kita kata training pukul 3.30, walau panas macam mana pun, mereka tetap hadir. Mereka takkan kata tidak. Pagi lari 10km, petang friendly pun mereka buat juga. Budaya kerja mereka sangat tinggi.”

Namun, tidak semuanya mudah kerana Mashiedee berkata sebagai jurulatih dari Malaysia, beliau akui perlu bekerja lebih keras untuk membuktikan kredibiliti, terutama apabila negara kita tidak berada dalam kedudukan tertinggi dalam ranking FIFA.

“Kita bukan dari negara yang menang Piala Dunia. Jadi, kadang-kadang kita dipandang sebelah mata. Tapi itu cabaran yang menjadikan saya lebih kuat.”

Sementara itu, Idham menekankan betapa pentingnya analisis prestasi dalam bola sepak moden yang mana di Malaysia, kebanyakan kelab sudah memiliki unit analisis tersendiri, namun di Vietnam, bidang ini masih dalam fasa perkembangan.

“Saya antara foreign analyst pertama di Liga Vietnam. Baru ada 3-4 kelab yang mula ambil performance analyst dari luar.”

Tambahnya lagi, walaupun pemain-pemain Vietnam setara dari segi kualiti dengan pemain Malaysia, perbezaan utama ialah pendedahan dan minit bermain, terutama kerana mereka hanya benarkan tiga pemain import bermain, memberi lebih peluang kepada pemain tempatan untuk menyerlah.

Menjelang pertembungan antara Malaysia dan Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 nanti, kedua-dua jurulatih optimis namun berhati-hati.

“Dari segi pemain ke pemain, kita tak jauh beza. Tapi Liga Vietnam lebih kompetitif. Pemain mereka lebih banyak main kerana kuota import yang terhad,”

kata Idham.

Tambah Mashiedee, persediaan juga menjadi cabaran kerana liga di Malaysia tamat lebih awal, sedangkan pemain Vietnam masih aktif bermain ketika kelayakan berlangsung.

“Sesiapa yang nak berkelana, kena ingat – awak datang sebagai ‘import player’. Jadi mentaliti dan tahap permainan kena tinggi. Kena upgrade dari segi technical dan tactical. Jangan hanya bawa nama lepasan akademi, tapi datang sebagai pemain profesional yang bersedia bersaing.”

Penghijrahan Mashiedee dan Idham membuktikan bahawa bakat Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah mampu menyesuaikan diri dan mencipta nama di pentas antarabangsa. 

Semoga lebih ramai jurulatih dan pemain Malaysia akan terus diberi peluang untuk mengharumkan nama negara di luar sana.