Dari Raya ke Realiti: Mengapa peminat ‘Otai’ bola sepak Malaysia semakin tawar hati?

Di sebalik kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di kampung, penulis berkesempatan berborak dengan saudara mara dan tetamu yang berkunjung ke rumah dan rancak berborak mengenai pelbagai topik termasuk topik yang sinonim dengan lelaki iaitu bola sepak.
Ketika sedang berbual mengenai bola sepak, beberapa pemain ‘otai’ bola sepak tanah air meluahkan rasa kecewa mereka terhadap situasi semasa bola sepak tempatan ketika ini.
Mereka ini adalah generasi yang menyaksikan zaman kegemilangan Liga Malaysia pada 1980an hingga 2000an, tetapi kini semakin menjauh dari liga yang dulu dianggap sebagai kebangsaan.
Perbualan santai itu mendedahkan akar masalah yang mencengkam bola sepak tempatan, isu yang tidak hanya mengikis semangat peminat, tetapi juga mengancam masa depan sukan ini.
Salah satu keluhan utama adalah dominasi sebuah pasukan yang berterusan selama lebih sedekad yang mana fenomena ini dianggap membunuh daya saing liga, menjadikan perlawanan seperti ritual tanpa kejutan.
Saingan yang tidak seimbang menyebabkan ramai peminat merasa liga sudah kehilangan “roh” yang dulu memukau ramai penyokong.
Apabila keputusan juara boleh diramal sejak awal musim, semangat untuk ke stadium atau menonton secara langsung semakin luntur.
Selain dari itu, isu pemain import yang mendominasi skuad utama kelab juga menjadi titik keresahan yang mana bagi peminat veteran ini mereka merasa liga kini lebih mirip “pameran bintang asing” berbanding wadah untuk mempromosikan bakat tempatan.
Mereka menyifatkan kuota import yang banyak sebagai penghalang kepada pemain muda untuk berkembang, terutama ketika kelab lebih gemar membeli bakat siap pakai daripada melabur dalam pembangunan akademi.
Ketiadaan wajah-wajah tempatan yang ikonik di atas padang dianggap menjauhkan generasi baharu daripada menjadikan liga sebagai rujukan inspirasi.
Pada masa sama, masalah kewangan kelab yang berlarutan turut menyumbang kepada penurunan minat.
Ramai peminat kecewa melihat kelab-kelab bergelut dengan isu gaji tertunggak dan pengurusan kucar-kacir.
Situasi ini tidak hanya melemahkan prestasi pasukan, tetapi juga mencerminkan ketiadaan perancangan jangka panjang.
Ketika pemain terpaksa beraksi dengan separuh tenaga akibat tekanan kewangan, penonton semakin sukar untuk menjadikan liga sebagai tumpuan kesetiaan.
Dalam pada itu, selain dari saingan liga tempatan skuad kebangsaan Harimau Malaya turut tidak terlepas dari kritikan.
Peningkatan ranking FIFA baru-baru ini dianggap sebagai hasil “jalan pintas” melalui pemain naturalisasi dan warisan, bukan pembangunan sistematik.
Bagi peminat veteran, mereka bimbang kebergantungan ini akan melahirkan generasi pemain tempatan yang terpinggir, meskipun negara memiliki akademi seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan NFDP yang mampu melahirkan bakat.
Mereka melihat kejayaan Jepun atau Korea Selatan—yang dibina melalui komitmen puluhan tahun pada pembangunan akar umbi—sebagai model yang perlu dicontohi.
Ironinya, walaupun Malaysia kini memiliki lebih banyak akademi bola sepak berbanding era sebelumnya, bakat muda sering tersekat di peringkat senior.
Mereka menyalahkan sistem yang terlalu mementingkan kemenangan segera dalam liga, sehingga mengabaikan proses matangkan pemain dari segi fizikal dan mental.
Di Eropah, pemain muda dilatih untuk memiliki ketahanan fizikal sebelum diasah taktik, tetapi di Malaysia, tekanan untuk berjaya di peringkat usia muda menyebabkan asas pembinaan pemain menjadi tidak seimbang.
Walaupun kecewa, mereka masih menyimpan harapan selain mendesak agar pihak berkepentingan agar serius dalam merombak sistem, termasuk mengurangkan kebergantungan pada pemain import, memperkukuh kewangan kelab, dan memberi ruang lebih luas kepada pemain tempatan di skuad kebangsaan.
Pembangunan liga yang mampan dan fokus pada akademi diyakini mampu mengembalikan semangat bola sepak tempatan.
Sementara itu, bagi peminat otai, bola sepak bukan sekadar hiburan tetapi ia adalah warisan budaya yang perlu dipertahankan.
Kekecewaan mereka hari ini adalah cerminan cinta yang tidak kesampaian dan jika liga dan skuad kebangsaan terus dibiarkan tenggelam dalam masalah yang sama, generasi muda mungkin akan menjadikan bola sepak sebagai sekadar kenangan nostalgia.
Perubahan drastik bukan lagi pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan sukan ini tidak mati di hati rakyat Malaysia.