Warrix mahu perkasa pembangunan bola sepak akar umbi bersama Negeri Sembilan FC

67

Pengarah Universal Sports, Tan Peng Koon memberitahu kerjasama dengan pasukan bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC) bukan sekadar melibatkan penajaan jenama sahaja tetapi turut menyentuh aspek pembangunan akar umbi serta hala tuju jangka panjang industri bola sepak Malaysia.

“Apa yang berlaku hari ini adalah lebih dari sekadar menandatangani MoU. Ia adalah permulaan kepada kolaborasi strategik antara Universal Sports dan Negeri Sembilan FC, khususnya dalam menjayakan pelan pembangunan bola sepak yang mampan,”

ujar Tan kepada Harimau Malaya selepas tamat majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universal Sports Sdn Bhd dan NSFC.

Tan turut mendedahkan perancangan untuk membawa program pembangunan akar umbi dari Thailand ke Negeri Sembilan. 


Tambahnya lagi, ia termasuk peluang kepada pemain muda bawah sembilan tahun untuk terpilih menyertai Akademi Sport Thai Bavaria (STB) – akademi yang menggunakan silibus berasaskan sistem latihan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

“Kalau semua perancangan berjalan lancar, kita mungkin akan adakan pemilihan awal di Negeri Sembilan seawal bulan Julai. Pemain terpilih akan ditaja sepenuhnya ke Bangkok untuk fasa pemilihan seterusnya.”

Kerjasama ini turut dilihat sebagai satu pendekatan menyeluruh, bukan hanya fokus kepada pasukan utama, tetapi juga kepada pembangunan komuniti bola sepak tempatan.

Dalam pada itu, Tan turut menyentuh peranan Warrix dalam menyokong pelbagai segmen bola sepak Malaysia, termasuk kelab sosial dan pasukan wanita, dengan menekankan bahawa mereka tidak memilih status liga, sebaliknya lebih mementingkan keserasian visi dan nilai bersama.

“Kami percaya, bola sepak tidak hanya terhad kepada komersial. Warrix dan Universal Sports komited terhadap pembangunan akar umbi, dan kami terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana kelab yang berkongsi ideologi sama.”

Sementara itu, menyentuh soal masa depan, Tan memberitahu bahawa terdapat beberapa lagi kelab yang sedang berbincang dengan pihak mereka, namun belum boleh diumumkan buat masa ini.

“Kita tidak mahu terburu-buru. Kami mahu pastikan setiap kerjasama membawa impak yang positif dan benar-benar menyumbang kepada kemajuan bola sepak tempatan.”

Dengan inisiatif yang menitikberatkan pembangunan jangka panjang, kerjasama Universal Sports dan NSFC bersama Warrix dilihat sebagai satu langkah proaktif ke arah memperkasakan ekosistem bola sepak Malaysia, dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi.