Alvin Fortes akui cukup serasi bermain dengan Faisal Halim

94

Pemain import sensasi Selangor FC, Alvin Fortes memberitahu bahawa beliau mempunyai hubungan yang baik dengan rakan sepasukan Faisal Halim dan keserasian itu diterjemahkan ketika mereka beraksi di atas padang.

Menurut Alvin, pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC baru-baru ini Faisal banyak membantunya dalam merencana gerakan ketika menyerang yang menyaksikan mereka berjaya membawa pulang tiga mata penuh di tempat sendiri.


“Saya dan Mickey (Faisal) ada hubungan baik. Kami banyak berbincang di latihan. Itu sebabnya kombinasi kami menjadi. Tapi bukan Mickey sahaja, seluruh pasukan beri kerjasama yang baik hari ini,”

katanya.

Pada perlawanan tersebut, Fortes menjadi wira apabila golnya berjaya menyumbang kepada kemenangan pasukan.

“Setiap perlawanan, saya mahu bantu pasukan. Itu tugas saya. Hari ini saya gembira dapat menjaringkan gol dan berikan kemenangan untuk pasukan.”

Dalam pada itu, mengulas lanjut tentang aksi perlawanan, Fortes mengakui separuh masa pertama agak mencabar dengan Terengganu memberikan saingan sengit. 

Namun, segala berubah selepas rehat apabila Selangor mula menguasai permainan dan mencipta lebih banyak peluang.

“Separuh masa pertama agak sukar. Tapi kami bermain lebih baik di babak kedua. Kami menyerang lebih banyak dan akhirnya berjaya jaringkan gol.”

Sementara itu, Fortes berkata walaupun mereka berjaya mengesahkan kedudukan kedua liga, beliau tetap menekankan kepentingan setiap perlawanan dan berharap Selangor dapat mengekalkan momentum kemenangan ke perlawanan terakhir.