Bintang muda kacukan Malaysia-Inggeris-Gambia sasar cipta nama di Liga Malaysia

Seorang lagi permata bola sepak berdarah kacukan kini menyinar di bumi Malaysia iaitu Anuar Ceesay, pemain berusia 22 tahun yang berasal dari Wales dan dibesarkan di London, kini sah menyertai sebuah pasukan dalam Liga Malaysia bagi musim hadapan.
Anuar, yang mempunyai darah campuran Malaysia, Inggeris dan Gambia, sebelum ini beraksi dalam saingan Non-League Division One di England bersama Leatherhead FC.
Sebelumnya, beliau menikmati musim terbaiknya bersama Badshot Lea FC dalam musim 2023/24, menjaringkan 11 gol dan mencatatkan 3 bantuan gol (assist).
Kini Anuar sudah mengesahkan bahawa beliau telah menandatangani kontrak dengan sebuah kelab liga kedua yang mana ketika ini adalah liga semi-profesional Liga A1.
“Agen saya mencadangkan saya bermain di liga ini dulu untuk menyesuaikan diri. Meskipun saya belum memiliki pasport Malaysia, dokumen warisan nenek saya akan membuka pintu untuk status sebagai pemain tempatan suatu hari nanti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Anuar lagi, langkah untuk berhijrah ke Malaysia bukan sekadar untuk karier, tetapi juga peluang untuk mendekati keluarga dan budaya ibunya.
“Saya sayang Malaysia, makanannya, orangnya, semangat peminat bola yang tiada tandingan. Impian saya satu hari nanti bermain untuk pasukan kebangsaan.”
Dalam pada itu, berkongsi lanjut mengenai susur galurnya Anuar lahir di Wales dan membesar di Brixton, London yang mana ayahnya berasal dari Gambia, manakala ibunya—berketurunan Melayu dan British—lahir di Singapura dan dibesarkan di Malaysia.
Menurut Anuar, walaupun ibunya melepaskan kewarganegaraan Malaysia untuk menetap di UK, hubunganya dengan tanah air neneknya tetap kukuh.
“Nenek saya 100% rakyat Malaysia. Saya rapat dengannya semasa dia di London. Kematiannya dua tahun lalu meninggalkan kesan besar, dan saya tahu asal-usul saya perlu dihormati.”
Sementara itu, untuk musim pertamanya di Malaysia nanti beliau telah menetapkan sasaran sederhana tetapi jelas.
“Saya ingin membiasakan diri dengan corak permainan dan cuaca. Selepas ini, target saya ialah membantu pasukan naik ke Liga Super.”
Beliau turut mengakui perbezaan ketara di antara liga bola sepak di England yang mana di sana lebih agresif dan fizikal, manakala di Malaysia pula lebih teknikal dan pantas menyesuaikan diri dengan cuaca panas.
Anuar turut berkongsi dua bintang tempatan yang menjadi inspirasi buat dirinya iaitu Arif Aiman, Faisal Halim dan Safawi Rasid.