Sang Kenari patah sayap: Adakah ini penghujung era KDA FC?
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini berada dalam situasi genting apabila krisis kewangan yang berlarutan gagal diselesaikan, sekaligus mengheret pasukan Jelapang Padi itu ke lembah prestasi terburuk.
Kekalahan memalukan 6-0 kepada Sri Pahang FC di Temerloh semalam bukan sahaja mencetuskan kemarahan peminat, tetapi juga mendedahkan betapa teruknya implikasi krisis ini terhadap masa depan kelab.
Kekalahan terbaharu di Stadium Mini Temerloh itu menyaksikan Kedah hanya mampu membawa 17 pemain ke Temerloh, situasi yang membataskan ruang strategi buat ketua jurulatih, Victor Andrag.
Ketiadaan pemain utama dan ketidakstabilan mental skuad jelas ketara di padang dan ini merupakan kekalahan kelima berturut-turut buat mereka sekaligus menjerumuskan mereka ke tangga ke-11 Liga Super dengan hanya 20 mata daripada 22 perlawanan—prestasi terburuk sejak musim 2012.
Punca utama kemerosotan prestasi Kedah tidak dapat dipisahkan daripada kemelut kewangan yang melanda.
Difahamkan, gaji pemain dan staf tertunggak lebih 10 bulan, menyebabkan motivasi dan fokus skuad tergugat, meskipun Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, pemilik saham majoriti Kedah, pernah mengumumkan usaha melangsaikan tunggakan dan merancang kerjasama dengan syarikat penaja dari Amerika Selatan, namun tiada perkembangan konkrit dilaporkan sejak pengumuman itu pada Ramadan lalu.
Dalam pada itu, bukan sekadar prestasi di padang, masa depan Kedah di persada bola sepak Malaysia juga bergantung pada kelulusan Lesen Kebangsaan oleh First Instance Body (FIB) Malaysian Football League (MFL).
Proses pelesenan bagi musim 2026/27 sedang giat dilaksanakan, dan Kedah perlu memastikan semua dokumentasi kewangan serta operasi memenuhi piawaian MFL.
Jika gagal, kelab berusia 100 tahun ini berisiko tersingkir dari liga utama—nasib yang pernah menimpa Sarawak United dan Melaka FC sebelum ini.
Persoalan besar kini menggantung: Adakah Sang Kenari mampu bertahan? Usaha mendapatkan penaja baharu dan penyelesaian tunggakan gaji perlu dipercepat sebelum pemain hilang sabar.
Pasukan juga memerlukan suntikan pemain berpengalaman dan strategi jangka panjang untuk kembali bersaing di Liga Super.
Namun, tanpa penyelesaian segera, Kedah mungkin mengikut jejak kelab-kelab yang pernah hilang dari peta bola sepak negara.
Peminat setia masih berharap keajaiban berlaku, tetapi realitinya, masa semakin suntuk untuk mereka menyelamatkan diri.
Sementara itu, Kedah kini di persimpangan, terus berjuang dengan sisa kekuatan atau menerima takdir sebagai mangsa krisis kewangan yang tidak terkawal.
Musim 2026/27 bakal menjadi penentu sama ada kelab ini terus hidup sebagai simbol kebanggaan negeri, atau sekadar kenangan dalam lipatan sejarah.
Nasib Kedah bukan sekadar milik pemain dan pengurusan, tetapi tanggungjawab semua pihak yang mendakwa diri sebagai penyokong setia. Mampukah mereka bersama-sama mengembalikan sinar Sang Kenari?