Mark Milligan sah tinggalkan Harimau Malaya

2,003

Penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan Harimau Malaya, Mark Milligan, telah mengesahkan beliau meletak jawatan dan dikhabarkan akan pulang ke Australia bagi menyertai kelab Newcastle Jets menjelang musim baharu Liga Australia (A-League).

Milligan, yang mula menyertai kem kebangsaan Malaysia tahun lalu di bawah kendalian Peter Cklamovski, menyifatkan peluang bersama Harimau Malaya sebagai satu pengalaman yang sangat berharga dalam perjalanan karier kejurulatihannya.


“Diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan profesional seperti ini telah banyak mengajar saya. Pengalaman dan tahap profesionalisme di peringkat elit ini adalah sesuatu yang saya hanya dapat harapkan dan impikan,”

jelas Milligan dalam satu kenyataan rasmi di Malaysia NT.

Bekas kapten Socceroos itu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga bola sepak Malaysia termasuk pemain, staf kejurulatihan dan penyokong atas sokongan sepanjang penglibatannya.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain-pemain, staf, dan penyokong Malaysia dalam usaha untuk kelayakan Piala Asia 2027 serta pertumbuhan bola sepak negara.”

Dalam pada itu, Milligan turut meluahkan rasa terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan kebangsaan.

“Saya amat berterima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail kerana memberi saya peluang untuk bekerjasama dengan Peter Cklamovski dan seluruh kakitangan pasukan kebangsaan.”

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Milligan, walaupun tempoh kerjasama mereka agak singkat.

“Sungguhpun tempohnya singkat, beliau membantu langkah pertama bagi persiapan penting menghadapi aksi menentang Nepal. Kami memahami dan menyokong keputusannya untuk mencari peluang baharu di luar negara.”

Peter menegaskan bahawa sumbangan Milligan tetap bermakna dalam fasa awal pembangunan semula pasukan kebangsaan yang kini sedang menuju misi kelayakan Piala Asia 2027.