Arif Aiman berpotensi jadi pilihan Kim Sang-sik untuk perkuat pasukan ASEAN All-Stars lawan Manchester United?

Pengumuman Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bahawa Kim Sang-sik, ketua jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam, akan mengetuai Pasukan ASEAN All-Stars dalam perlawanan bersejarah menentang Manchester United pada 28 Mei 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil telah mencetuskan keterujaan peminat.
Disebalik keterujaan peminat terhadap perlawanan tersebut, peminat Malaysia juga teruja dan tidak sabar untuk melihat siapakah pemain Malaysia yang mungkin akan mendapat tempat dalam pasukan tersebut.
Melihat kepada prestasi semasa pemain Malaysia sudah semestinya satu nama menjadi sebutan peminat iaitu bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman yang kini berada pada puncak prestasi.
Arif dianggap sebagai calon terbaik untuk mewakili Malaysia dalam pasukan gabungan ASEAN All-Stars.
Ini kerana prestasinya yang konsisten di peringkat domestik dan antarabangsa menjadi faktor utama.
Selain mempamerkan dominasi dalam saingan liga domestik Liga Malaysia termasuk membantu JDT menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, Arif turut cemerlang di pentas antarabangsa dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) baru-baru ini.
Biarpun perjalanan JDT dalam saingan ACLE berakhir di peringkat pusingan 16, namun prestasi Arif sepanjang kejohanan cukup menakjubkan dan mendapat perhatian peminat di seluruh Asia.
Dengan 10 perlawanan yang diharungi sepanjang kempen ACLE, Arif telah berjaya menjaringkan lima gol dan dua bantuan gol sekaligus membuktikan kemampuan beliau untuk bersaing di pentas elit Asia.
Kematangan teknikal dari sudut kepantasan, kreativiti, dan ketajaman di depan gol menjadikannya sesuai dengan gaya permainan menyerang yang mungkin diterapkan Kim Sang-sik.
Untuk pengetahuan, Sang-sik, yang terkenal dengan pendekatan taktikal agresif semasa membimbing Vietnam, dijangka memilih pemain berdasarkan prestasi semasa dalam saingan domestik dan antarabangsa.
Pada masa sama beliau pastinya akan memilih pemain yang mempunyai kemampuan untuk adaptasi dengan sistempermainan berintensiti tinggi serta punya pengalaman menghadapi tekanan perlawanan besar.
Tidak dapat disangkal lagi, Arif memenuhi kesemua kriteria, malah dengan rekodnya menentang pasukan gergasi turut mengukuhkan reputasinya sebagai pemain serba boleh.
Arif Aiman memenuhi semua kriteria ini. Malah, rekodnya menentang pasukan ASEAN lain seperti di Piala AFC dan Liga Champions ASEAN turut mengukuhkan reputasinya sebagai pemain serba boleh.
Jika Arif Aiman berjaya dipilih, ini bukan sekadar penghargaan buatnya, tetapi juga bukti perkembangan bola sepak Malaysia di mata ASEAN.
Senarai akhir 23 pemain ASEAN All-Stars dijangka diumumkan pada April 2025 dan bagi Arif Aiman, peluang ini mungkin menjadi pentas terbaik untuk menarik perhatian kelab Eropah – sambil membuktikan bahawa bakat Malaysia mampu berdiri sama tinggi di Asia.