‘Round table’ Maloney & KPG, apa yang boleh diharapkan peminat

217

Memandangkan dua kejohanan penting akan berlangsung pada waktu serentak iaitu kelayakan Piala Asia 2023 dan Piala AFC bawah 23 tahun pada bulan Jun, kedua-dua jurulatih skuad bola sepak negara Kim Pan-gon dan Brad Maloney perlu duduk semeja untuk membincangkan hala tuju pasukan dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

Perkara pertama yang menarik untuk dilihat adalah mengenai pemilihan pemain-pemain muda untuk menyertai kedua-dua kejohanan tersebut. Maloney dan Pan-gon perlu memikirkan siapa calon yang layak untuk membarisi sama ada skuad senior mahupun skuad bawah 23 tahun kebangsaan.


Nama-nama seperti Luqman Hakim, Mukhairi Ajmal, Arif Aiman, Quentin Cheng dan Akhyar Rashid telah membarisi skuad senior kebangsaan dalam Piala AFF baru-baru ini. Mereka ini juga merupakan antara tonggak utama skuad bawah 23 tahun negara kendalian jurulatih dari Australia itu disamping pemain-pemain lain seperti Azri Ghani dan Nik Akif Syahiran.

Menarik untuk dilihat apa perancangan kedua-dua jurulatih ini dalam membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi dua kejohanan penting ini. Jika pemain-pemain muda ini dipanggil untuk membarisi skuad utama negara, maka Maloney terpaksa meletakkan tanggungjawab kepada pemain lain untuk mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan mereka.

Eksperimen telah dilakukan oleh Maloney dengan membawa muka-muka baharu ke AFF bawah 23 tahun baru-baru ini, namun hasilnya cukup mengecewakan. Hal ini membuktikan bahawa pasukan muda negara amat bergantung kepada pemain-pemain utama ini untuk beraksi dengan baik.

Selain itu, keutamaan perlu diberikan untuk kejohanan yang lebih penting. Kedua-dua jurulatih juga perlu sepakat untuk menentukan kejohanan mana yang perlu diberikan fokus. Kelayakan Piala Asia 2023 merupakan cabaran pertama Kim Pan-gon dalam membantu skuad negara melayakkan diri secara merit ke kejohanan itu.

Manakala buat Maloney, sudah pastilah sesuatu ingin dibuktikan kepada para peminat bola sepak tempatan selepas aksi mengecewakan skuad muda negara di Kemboja baru-baru ini.

Isu yang menarik juga diperkatakan adalah mengenai kemungkinan Pan-gon mengambil alih skuad bawah 23 tahun negara seperti yang dilakukan oleh Indonesia dan Vietnam. Shin Tae-yong dan Park Hang-seo menjadi jurulatih untuk skuad bawah 23 tahun dan skuad senior kedua-dua negara tersebut.

Hasilnya, Indonesia dan Vietnam dilihat mempunyai pasukan yang kuat tidak kiralah daripada skuad muda ataupun skuad utama.

Memandangkan kedua-dua kejohanan ini berlangsung serentak, mungkin Maloney mahupun Pau Marti Vicente boleh mengambil alih tugas Pan-gon dalam mengendalikan pasukan bawah 23 tahun ini.

Jika DNA yang sama diterapkan untuk menjadi identiti pasukan bola sepak negara dalam pelbagai peringkat, tidak mustahil kejayaan yang sama dapat dicapai oleh skuad negara kelak.