Tiga calon tempatan layak jadi ‘orang kanan’ Peter Cklamovski

34

Selepas hanya dua bulan bersama skuad bola sepak kebangsaan negara, penolong jurulatih yang berasal dari Australia, Mark Milligan sah meninggalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau dilaporkan bakal menyahut cabaran baharu di negara kelahirannya, mengemudi kelab A-League, Newcastle Jets untuk musim 2025/26.


Susulan pengunduran Milligan, jawatan pembantu ketua juruatih Harimau Malaya yang bertindak sebagai ‘orang kanan’ Peter Cklamovski kini kosong.

Sama ada jawatan tersebut akan terus diisi oleh tenaga pakar dari luar negara atau sebaliknya, ia terpulang kepada pihak FAM, namun sekiranya bakat tempatan diberi peluang, terdapat tiga nama yang dilihat mampu menggalas tanggungjawab itu.

  1. Nafuzi Zain

Dianggap sebagai salah seorang jurulatih terbaik tempatan Ketika ini, Nafuzi kini merupakan ketua jurulatih skuad B-23 negara sejak awal tahun ini.

Beliau mempunyai portfolio yang agak baik sepanjang kariernya sebagai jurulatih, terutamanya Ketika membimbing Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC.

Nafuzi memiliki pengetahuan yang mendalam terhadap DNA bola sepak Malaysia serta mampu menjadi jambatan antara skuad Bawah umur dan senior.

Beliau juga terkenal dengan gaya permainan menyerang yang seiring dengan pendekatan taktikal moden, sesuatu yang boleh melengkapi falsafah Peter Cklamovski.

  1. Tan Cheng Hoe

Nama yang tidak asing lagi dalam skuad Harimau Malaya, Cheng Hoe pernah mengendalikan skuad kebangsaan dari 2018 hingga 2022.

Dalam tempoh tersebut, beliau berjaya membawa skuad negara menjadi naib juara Piala AFF 2018, selain menerapkan taktikal moden dengan gaya permainan pantas dan tersusun.

Beliau juga mengenali pemain-pemain Harimau Malaya ketika ini kerana masih ramai pemain kebangsaan ketika ini pernah bermain di bawahnya, sama ada di peringkat kelab mahupun negara.

Dengan pengalaman yang dimilikinya, Cheng Hoe mampu menjadi orang kanan yang sangat berguna buat Cklamovski di dalam serta luar padang.

  1. Hairuddin Omar

Pernah bergandingan bersama Nafuzi dalam barisan kejurulatihan Terengganu, bekas penyerang Harimau Malaya ini mencuri perhatian ramai apabila dilihat menyertai sesi Latihan skuad kebangsaan menjelang perlawanan menentang Nepal baru-baru ini.

Seperti Nafuzi, beliau juga mempunyai pengetahuan luas dalam pembangunan bakat muda di negara ini kerana pernah mengendalikan skuad B-23 Terengganu.

Beliau juga sangat dihormati dalam kalangan pemain serta penggiat bola sepak tempatan kerana pengalaman serta jasanya Ketika menyarung jersi Harimau Malaya serta Ketika menjawat jawatan Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Dari segi taktikal dan pengalaman teknikal, walaupun beliau mungkin kurang dikenali berbanding Nafuzi dan Cheng Hoe, namun kejayaannya membawa Terenggau B-23 menjulang Piala MFL pada 2023 boleh menjadi kayu pengukur terhadap potensinya jika diberi peluang.