Banyak pasukan yang mahukan pemain seperti Arif Aiman – Luis Garcia

266

Lagenda LaLiga, Luis Garcia kagum dengan bakat dan kualiti yang ada pada bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman yang mana beliau sifatkan sebagai salah satu bakat terbaik di Malaysia ketika ini.

Menurut Garcia, dengan kualiti yang ada pada pemain berusia 22 tahun itu, pastinya banyak pasukan yang mahukan pemain sepertinya dalam skuad mereka.


“Dia punya kepantasan dan kebolehan mengubah permainan. Pemain seperti ini sangat bernilai dalam bola sepak moden yang mementingkan strategi dan peranan spesifik.

Pasukan mana pun mahukan pemain seperti dia. Usia 22 masih muda – jika dia terus konsisten dan disiplin, masa depannya cerah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Garcia pada masa sama turut menekankan kepentingan menikmati permainan bola sepak sejak dari kecil kerana itu adalah salah satu kunci untuk jadi seorang pemain yang lebih baik.

“Kalau kamu seronok, latihan tak terasa seperti beban. Biar hujan atau panas, kamu tetap datang dengan semangat tinggi. Itu kunci untuk jadi lebih baik. Tak perlu padang mewah – di jalanan, taman, atau halaman rumah pun boleh. Yang penting, sentiasa ada bola di kaki. Latihan 10,000 jam itu bermula dari sini.”

Dalam pada itu, selain kreativiti García menegaskan disiplin sebagai faktor penentu kejayaan. 

“Disiplin bukan sekadar ikut jadual latihan, tapi juga komitmen untuk perbaiki diri setiap hari. Ini bukan hanya untuk bola sepak, tapi semua bidang kehidupan. Jika kamu latih menimang bola 30 minit sehari, dalam setahun, itu sudah 180 jam peningkatan. Konsistensi kecil akan jadi perbezaan besar.”

Beliau pada masa sama turut mengakui pengaruh media sosial terhadap pemain muda adalah cabaran generasi baharu tetapi mereka perlu bijak dalam menguruskannya.

Namun beliau tetap optimis media sosial boleh jadi alat positif sebagai contoh sebagai platform mempromosikan diri, belajar dari pemain global dan berkongsi inspirasi.

Sementara itu, Garcia berkata bola sepak bukan sekadar sukan – ia cinta, kerja keras, dan cerita manusia dan Malaysia ada semua bahan untuk berjaya.