Monster Vicious kukuhkan masa depan pemain e-sukan dengan kerjasama bersama Innovative University College

Dalam satu langkah strategik dan penuh makna, Team Monster Vicious, salah satu pasukan ternama dalam arena MPL Malaysia telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Innovative University College (IUC) bagi memberikan tajaan penuh pengajian kepada pemain dan kru pengurusan mereka.
Pengasas pasukan, Muhammad Asyrof berkata, inisiatif ini lahir daripada keprihatinannya terhadap masa depan pemain selepas karier mereka dalam dunia e-sukan.
“Saya merantau ke banyak institusi. Ada yang terima, ada yang tak. Tapi Alhamdulillah, IUC buka pintu dan terima pelajar-pelajar saya untuk sambung pengajian. Sekurang-kurangnya mereka ada sijil untuk mohon kerja lepas habis karier,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, kerjasama ini bukan hanya untuk pemain aktif, tetapi juga merangkumi kru pengurusan dan staf kejurulatihan termasuk dirinya sendiri.
Menurutnya, IUC menyediakan program khas yang lebih singkat, namun tetap berkualiti, untuk memastikan para pelajar boleh menamatkan pengajian lebih awal tanpa menjejaskan latihan dan komitmen dalam e-sukan.
“Saya anggap diri saya macam ayah kepada mereka. Saya fikir ke depan – kalau dah habis jadi player, nak pergi mana? Jadi saya kena sediakan pelan jangka panjang.”
Dalam pada itu, menjelang MPL Malaysia musim ke-15, Monster Vicious memasang impian lebih besar.
Selepas hanya bercuti tiga minggu seusai musim lalu, pasukan ini terus menyambung latihan intensif dan menyusun semula strategi.
“Musim ni kita target top two. Kalau jadi juara, Alhamdulillah. Tapi top dua pun dah cukup untuk ke peringkat antarabangsa di Arab Saudi.”
Sementara itu, Asyrof optimis dengan barisan pemain dan tenaga kejurulatihan baharunya.
Jelasnya, walaupun pemain utama seperti Lubber dan Martizi sudah tiada, pasukan kini semakin mantap hasil penstrukturan semula dan perancangan rapi.