Bintang import baharu Monster Vicious sasar Top 2 MPL MY musim ini

23

Bintang import baharu pasukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Team Monster Vicious, RoundeL telah melebarkan sayapnya apabila mengambil keputusan untuk berhijrah bagi bersaing dalam saingan MPL Malaysia musim ke-15.

RoundeL sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Altrigo.


“Saya satu season dengan Altrigo kemarin. Lepas tu, ada kesempatan untuk saya bermain di MPL Malaysia. Saya memang mahu cuba sesuatu yang baru dan tengok macam mana suasana kompetitif di sini,” Katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, persiapan pasukan kini berada di landasan terbaik. Jadual latihan semakin padat dan mereka banyak melakukan penilaian serta penyesuaian berdasarkan prestasi semasa.

“Kita bukan saja berlatih, tapi juga banyak menonton permainan pasukan lain untuk cari strategi baru. Evaluasi dan adaptasi sangat penting bagi kami musim ini.”

Ketika ditanya mengapa ramai pemain Indonesia kini berminat untuk bermain di Malaysia, RoundeL menjelaskan bahawa ramai yang mahu keluar dari zon selesa dan mencuba cabaran baharu.

“Mungkin mereka rasa dah terlalu lama main di Indonesia. Mereka nak cuba sesuatu yang baru — dan Malaysia ni dekat, bahasa pun tak terlalu jauh beza. Jadi mereka ambil peluang.”

RoundeL turut mengakui bahawa ganjaran kewangan juga antara tarikan utama untuk pemain luar datang ke MPL Malaysia, selain daripada potensi karier yang lebih luas.

Dalam pada itu, mengenai harapannya musim ini bersama Monster Vicious, RoundeL dengan yakin menetapkan sasaran tinggi.

“Target saya, kami nak capai sekurang-kurangnya Top 2 untuk layak ke Riyadh nanti.”

Beliau pada masa sama turut mengakui pasukan Selangor Red Giants (SRG), Team Vamos dan pasukannya sendiri adalah pasukan paling mencabar musim ini.

Sementara itu, dengan kehadiran pemain import seperti RoundeL yang berpengalaman, Monster Vicious tampak semakin bersedia untuk mencabar gelaran juara.