“Saya mahu ke Olimpik!” – Aznil Bidin

238

Masih lagi segar dengan kejayaan memperoleh pingat emas dalam kelayakan Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Tashkent, Uzbekistan pada penghujung tahun lalu, atlet angkat berat negara Aznil Bidin meletakkan misi layak ke Sukan Olimpik 2024 sebagai sasaran utama.

Untuk melayakkan diri ke Olimpik, beliau perlu mengumpulkan seberapa banyak mata yang boleh dan menempatkan diri dalam 14 atlet terbaik dalam kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik.


“Saya mahu menempatkan diri dalam 14 atlet terbaik dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Paris 2024”

katanya kepada Harimau Malaya

Atlet berusia 28 tahun yang berasal dari Kedah itu menggalas tugas sebagai antara sandaran utama skuad angkat berat negara dalam tiga temasya besar yang akan berlangsung pada tahun ini bermula dengan Sukan SEA Hanoi, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou.

Beliau menyasarkan untuk menaiki podium di Sukan SEA dan mengekalkan pingat emas yang dimenangi dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast untuk kategori 61 kg selain mahu menampilkan aksi yang cemerlang dalam merebut mata ke Sukan Olimpik 2024.

“Saya mahu menaiki podium di Sukan SEA dan juga mengekalkan pingat emas Sukan Komanwel. Kalau ikutkan ranking, saya sekarang di ranking nombor satu kelayakan Komanwel, jadi peluang itu cerah”

“Kalau di Sukan Asia, saya nak dapatkan kedudukan terbaik sebab ianya kelayakan ke Sukan Olimpik”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aznil kini dalam landasan terbaik untuk mengekalkan pingat emas yang dimenanginya pada temasya yang lalu biarpun kini sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan tulang belikat yang dialaminya.

Terbaru, beliau telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 67kg dalam satu kejohanan kelayakan ke Sukan SEA 2022 baru-baru ini yang berlangsung di Perlis.

“Kecederaan lama agak merencatkan persiapan pada permulaan, namun sekarang saya sudah bersedia biarpun belum lagi sembuh sepenuhnya”

“Saya dah berjaya pecahkan rekod kebangsaan dalam kategori 67kg minggu lepas dalam tournament di Perlis”

katanya kepada Harimau Malaya

Mengenai isu doping yang dilihat sering melanda kem angkat berat kebangsaan, beliau menegaskan bahawa ianya berpunca daripada amalan pengambilan makanan tambahan yang tidak mendapatkan kelulusan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

“ISN akan memantau setiap pengambilan supplement untuk pastikan atlet-atlet tak sangkut dengan isu doping. Namun, ada juga atlet yang mengambil supplement tanpa pengetahuan ISN, jadi sebab tu lah sangkut”

katanya kepada Harimau Malaya