Sinar harapan buat KDA FC: Potensi penaja baharu boleh kembalikan kegemilangan Sang Kenari

Peminat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang selama ini dilanda keresahan dengan krisis kewangan pasukan kesayangan mereka, akhirnya boleh menarik nafas lega selepas munculnya sinar harapan daripada potensi penaja baharu.
Mohd Irshad Shafiq, pemilik Bieziy Production dan duta KDA FC, baru-baru ini mencetuskan gelombang optimisme dalam kalangan penyokong Sang Kenari setelah membayangkan komitmen baharu untuk menyelamatkan masa depan kelab.
Melalui satu hantaran di Facebook, Irshad Shafiq memuat naik gambar beliau bersama Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, pemilik saham terbesar KDA, dengan kapsyen yang memberi isyarat jelas mengenai perbincangan penajaan musim hadapan.
“Alhamdulillah, selesai perbincangan bersama Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. In Shaa Allah, kami akan buat yang terbaik untuk KDA FC musim hadapan. Sama-sama kita doakan semoga segala urusan dipermudahkan. Kami akan kembalikan Zaman Kegemilangan Kedah Darul Aman FC seperti dahulu…”
Posting tersebut terus menjadi tumpuan peminat yang menganggapnya sebagai petanda awal kedatangan dana baharu untuk membangunkan semula pasukan.
Irshad Shafiq, yang juga dikenali sebagai figura aktif dalam industri kreatif, dilihat mampu membawa jaringan penajaan yang kukuh untuk menyokong visi pemulihan Sang Kenari.
Biarpun isu tunggakan gaji pemain, jurulatih, dan staf yang mencecah 10 bulan masih belum selesai, kehadiran penaja baharu dijangka menjadi “nyawa kedua” buat kelab.
Ramai penyokong yakin bahawa kerjasama strategik antara Irshad Shafiq dan Tan Sri Daud Bakar boleh membawa penyelesaian mampan, bukan sekadar untuk melunaskan hutang, tetapi juga merangka pelan jangka panjang bagi memastikan kestabilan kewangan pasukan.
Dalam pada itu, untuk terus bermain di Liga Super 2025/26, Kedah perlu melengkapkan dokumen permohonan Lesen Kebangsaan yang dikeluarkan oleh First Instance Body (FIB) di bawah Malaysian Football League (MFL).
Proses ini termasuk memastikan kelab memenuhi kriteria kewangan, pengurusan, dan infrastruktur yang ketat.
Dengan potensi kemasukan dana daripada penaja baharu, peluang Kedah untuk melalui proses pelesenan ini dijangka lebih cerah.
Suntikan kewangan bukan sahaja boleh membantu menyelesaikan tunggakan sedia ada, malah membolehkan kelab merancang perbelanjaan musim hadapan dengan lebih teratur.
Kedah mempunyai sejarah gemilang dalam bola sepak Malaysia, dengan koleksi trofi Liga Super, Piala Malaysia, dan Piala FA.
Namun, kegemilangan itu semakin pudar dek tekanan kewangan yang berlarutan dan dengan komitmen Irshad Shafiq untuk “mengembalikan zaman kegemilangan” memberi semangat baharu kepada pemain dan penyokong.
Jika perbincangan penajaan ini berjaya direalisasikan, Kedah berpotensi membina semula skuad kompetitif, mempertahankan pemain teras, dan menarik bakat baharu.
Ini penting bagi memastikan pasukan tidak sekadar bertahan di Liga Super, tetapi juga mampu bersaing di puncak.
Sementara itu, meskipun cabaran untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan masih perlu dilalui, kehadiran penaja potensi seperti Irshad Shafiq memberi sinar baharu buat pasukan.
Jika segala perancangan berjalan lancar, musim 2025/26 mungkin menjadi pentas untuk Kedah bangkit daripada kepupusan dan mencipta semula legasi mereka.