Australia pintas Malaysia dalam ranking kejohanan kelab AFC

109

Kemas kini terbaru bagi kejohanan kelab AFC menerusi laman Footy Rankings menyaksikan bahawa Malaysia kini telah dipintas oleh Australia dalam kedudukan keseluruhan bagi zon Timur.

Kedudukan terbaru ini menyaksikan Australia naik ke tempat kelima dengan 40.420 mata, manakala Malaysia jatuh ke tangga keenam dengan 40.039 mata. Vietnam pula mengekori rapat di tempat ketujuh dengan 35.038 mata bagi ranking zon Timur.


Perkembangan ini agak mengecewakan memandangkan bulan lalu, Malaysia masih berada di atas Australia dalam ranking tersebut.

Ini bakal merencatkan lagi hasrat peminat-peminat bola sepak tempatan untuk melihat lebih banyak pasukan dari negara ini beraksi di peringkat Asia.

Walaupun Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menyumbang mata yang agak banyak dengan melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir AFC Champions League (ACL) Elite, kegagalan Selangor di peringkat kumpulan ACL 2 sedikit sebanyak menjejaskan peluang Malaysia untuk melonjakkan lagi kedudukan dalam ranking tersebut.

Walaupun Central Coast Mariners tidak berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir AFC Elite, mata yang diperoleh daripada Sydney FC hasil kejayaan layak ke separuh akhir ACL 2 sudah cukup untuk memastikan Australia memintas Malaysia.

Dengan kesemua pasukan dari kedua-dua negara sudah tersingkir di kejohanan masing-masing, ranking untuk Australia dan Malaysia akan terus kekal masing-masing di tangga kelima dan keenam bagi musim ini.

Untuk musim hadapan, Australia dan Malaysia pastinya mahu mendekatkan diri dengan Chian yang berada di ranking keempat dengan 54.682, yang memperuntukkan dua slot di ACL Elite dan satu slot ACL 2.

Ketika ini, Australia dan Malaysia masing-masing menerima satu slot untuk ACL Elite dan satu slot untuk ACL 2.