Hannah Yeoh berharap FAM dapat perkukuh peranan selesaikan isu kewangan dalam bola sepak negara
Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh, menyeru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar meningkatkan komitmen dalam menangani isu kewangan yang masih menjadi cabaran dalam arena bola sepak negara.
Dalam nada yang membina, beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara pihak berwajib dan FAM untuk memastikan kelestarian pembangunan sukan tersebut.
Hannah menjelaskan bahawa KBS kini memberikan tumpuan kepada pelbagai program pembangunan sukan, termasuk persiapan ke arah Sukan Olimpik.
Justeru, pembangunan menyeluruh bola sepak memerlukan sokongan aktif FAM sebagai badan utama yang menguruskan sukan tersebut.
“Pembangunan bola sepak tidak dapat ditanggung oleh kerajaan semata-mata. FAM perlu memainkan peranan yang lebih proaktif demi kebaikan bersama,”
katanya.
Tambahnya lagi, untuk isu bola sepak ia tidak boleh berdasarkan satu-satu kes sebaliknya ia perlu ada pendekatan menyeluruh dan sistematik.
Malah pihaknya juga telah meminta Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian ke atas Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan infrastruktur akademi bola sepak di Gambang, Pahang yang mana hasil penilaian itu kini dalam perbincangan lanjut bersama FAM.
“Saya sudah ada laporan AFC assessment terhadap perbelanjaan sedia ada dan keberkesanan program kita. Sekarang kita akan bincang dengan FAM, apa yang kita serah kepada mereka, dan apa yang mereka akan bantu MSN.”
Dalam pada itu, Hannah juga berkata satu mesyuarat dengan FAM akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan usaha penambahbaikan menyeluruh kepada sistem bola sepa
“Tak boleh bergantung hanya kepada satu negeri atau satu kelab. Ia perlu bergerak bersama. Saya perlukan kerjasama FAM sepenuhnya dalam hal ini.”
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan di Malaysia, Hannah berkata tumpuan akan diberikan kepada sukan-sukan Olimpik, dan senarai acara bergantung kepada bajet serta kerjasama persatuan sukan masing-masing.
“Kita tidak mahu ada mentaliti ‘jaguh kampung’. Kita berpijak di bumi nyata, dan buat perancangan berdasarkan kapasiti sebenar negara.”