KBS perkasa inisiatif ‘Belia Bebas Dadah’ demi kesejahteraan generasi muda

99

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh peranannya dalam memastikan kesejahteraan generasi muda menerusi pelaksanaan inisiatif Belia Bebas Dadah, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai Kesejahteraan, Keyakinan, dan Ihsan.

Inisiatif ini dirangka sebagai usaha menyeluruh untuk mewujudkan persekitaran aktiviti belia yang lebih selamat, khususnya melibatkan hiburan dan konsert yang semakin menjadi pilihan golongan muda masa kini.


Penambahbaikan SOP Penganjuran Konsert

Sebagai langkah segera, KBS akan memperketat dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi penganjuran konsert, terutama melibatkan genre Electronic Dance Music (EDM) yang sering dikaitkan dengan potensi penyalahgunaan dadah. 

Antara elemen baharu yang akan dilaksanakan termasuk:

  • Hydration Point untuk mencegah dehidrasi dalam kalangan pengunjung;
  • Pasukan perubatan lengkap yang bersedia menghadapi kecemasan sepanjang acara;
  • Kempen kesedaran visual menerusi poster dan video mengenai bahaya dadah dan tindakan kecemasan;
  • Hospital siap siaga (on standby) berhampiran lokasi acara;
  • Penempatan unit K9 (anjing pengesan) bagi memperketat kawalan keselamatan.

KBS turut menggalakkan SOP ini digunapakai oleh semua penganjur konsert, termasuk yang diadakan di fasiliti bukan milik kementerian, bagi memastikan keselamatan pengunjung terus diutamakan.

‘Safe Space’ dan Kolaborasi Strategik

Sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh, KBS bekerjasama dengan Majlis AIDS Malaysia untuk mewujudkan kawasan ‘Safe Space’ — ruang khas yang menyediakan maklumat berkaitan bahaya dadah dan bahan terlarang, serta menjadi tempat rujukan dan sokongan kepada para pengunjung.

Program Komuniti & Intervensi Awal

KBS juga memperkenalkan pendekatan Harm Reduction: Belia Bebas Dadah, yang merangkumi program-program berikut:

  • Promosi kesedaran mengenai bahaya dadah dan panduan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku insiden penyalahgunaan;
  • Kem Belia @ Rakan Prihatin, khusus untuk belia berisiko agar mereka mendapat akses kepada pendidikan, peluang kerjaya, dan aktiviti pemerkasaan diri;
  • Peer Support Group @ Rakan Prihatin, melibatkan individu yang sedang melalui proses pemulihan untuk berkongsi pengalaman dan memberi kesedaran kepada rakan sebaya.

Komitmen KBS Terhadap Masa Depan Belia

Menurut KBS, usaha ini adalah manifestasi komitmen kementerian dalam membina masa depan Malaysia yang lebih sejahtera dan inklusif. “Masa depan negara bergantung kepada generasi muda yang sihat, berdaya tahan dan bermaklumat.

Dengan pendekatan proaktif dan kolaboratif, KBS yakin inisiatif Belia Bebas Dadah mampu menjadi titik tolak kepada pembentukan sebuah masyarakat belia yang bebas dari ancaman najis dadah dan seiring dengan pembangunan negara.