KDA FC & Terengganu FC gagal peroleh Lesen AFC, hanya 4 kelab lulus

Jawatankuasa First Instance Body (FIB) telah mengumumkan keputusan rasmi Lesen Pelesenan Kelab AFC bagi kitaran 2024-2025 dalam mesyuarat ke-10 yang berlangsung di Wisma FAM.
Keputusan ini menentukan kelayakan kelab-kelab Liga Super Malaysia untuk bersaing dalam kejohanan peringkat Asia, khususnya AFC Champions League Elite dan AFC Champions League Elite 2 musim 2025-2026.
Dalam satu kenyataan media, MFL memaklumkan daripada enam pasukan Liga Super yang mengemukakan permohonan, hanya empat kelab berjaya memperoleh lesen tersebut, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC dan Penang FC.
Manakala dua pasukan lain, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), tidak berjaya mendapatkan lesen AFC kali ini.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, mengucapkan tahniah kepada kelab-kelab yang lulus permohonan lesen dan menyampaikan penghargaan kepada Terengganu FC dan KDA FC atas usaha dan komitmen mereka dalam melengkapkan permohonan meskipun tidak berjaya.
Beliau turut menyatakan harapan agar lebih banyak kelab menyertai proses pelesenan dalam kitaran akan datang demi memastikan daya saing Liga Super Malaysia terus berada pada tahap tertinggi, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga dalam arena bola sepak Asia.
Kegagalan Terengganu dan Kedah mendapatkan lesen AFC mungkin memberi kesan terhadap peluang mereka untuk mewakili negara dalam kejohanan kelab Asia pada musim akan datang.
Kelab-kelab yang tidak berjaya akan perlu memperkemas struktur pengurusan dan kewangan serta mematuhi semua kriteria pelesenan bagi memastikan kelayakan dalam kitaran seterusnya.