Harimau Malaya akan bertemu pasukan berkualiti sebelum bertemu Vietnam – Datuk Joehari
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus memperkukuh struktur pentadbiran skuad kebangsaan dengan pelantikan tiga figura penting bagi mempertingkatkan pengurusan dan hala tuju Harimau Malaya menjelang kempen-kempen penting yang akan datang.
Dalam perkembangan terbaru, Presiden FAM iaitu Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub mengumumkan bahawa Stanley Bernard dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Harimau Malaya.
Beliau akan bertindak sebagai orang kanan kepada CEO pasukan, Rob Friend, dalam menyelaras operasi strategik pasukan kebangsaan.
Stanley, bekas CEO Kuala Lumpur City FC, merupakan figura yang dikenali dengan pendekatan moden dalam pengurusan bola sepak dan diyakini mampu membawa dimensi baharu kepada struktur Harimau Malaya.
Turut diumumkan ialah pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Pengarah Teknikal Harimau Malaya, yang bakal memainkan peranan penting dalam aspek pembangunan taktikal, teknikal dan perancangan jangka panjang skuad negara.
Pelantikan ini dilihat sebagai langkah tepat memandangkan Tan Cheng Hoe mempunyai pengalaman luas bersama pasukan kebangsaan dan kefahaman mendalam terhadap ekosistem bola sepak tempatan.
Selain itu, FAM turut melantik Joe Rozi sebagai penyelaras pasukan Harimau Malaya (Team Coordinator).
Peranan beliau penting dalam memastikan komunikasi dan penyelarasan antara pengurusan, kejurulatihan dan pemain berjalan lancar sepanjang kempen antarabangsa.
Joehari turut menzahirkan keyakinan terhadap barisan baharu ini dan menyifatkan pelantikan mereka sebagai langkah strategik untuk memastikan Harimau Malaya berada pada landasan terbaik menjelang perlawanan penting iaitu pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dan kejohanan antarabangsa yang akan datang.
“Mereka adalah antara individu terbaik dalam industri bola sepak kita. Dengan gabungan pengalaman teknikal, pengurusan dan strategi, saya yakin Harimau Malaya kini berada dalam landasan lebih mantap,”
katanya.
Dalam pada itu, Joehari turut berkongsi mengenai perkembangan pasukan kebangsaan yang akan membuat persiapan untuk menghadapi perlawanan penting menentang Vietnam.
“Kita bangga dengan cara permainan ketika menentang Nepal. Persiapan kini diteruskan dengan perlawanan kompetitif agar pemain kekal bersedia menentang pasukan Vietnam nanti.”
Menurut Joehari, pihaknya sedang berusaha mengatur lebih banyak aksi persahabatan kompetitif dengan pasukan yang berada dalam ranking lebih tinggi mahupun setaraf.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran mendapatkan lawan berkualiti kerana kebanyakan negara juga terikat dengan jadual masing-masing.
“Kalau boleh, kita nak lawan dengan pasukan yang lebih tinggi ranking. Tetapi kita juga sedang berunding dan berharap dapat menganjurkan perlawanan di Malaysia.”