Dinobat sebagai MVP buat kali keempat berturut-turut, Arif Aiman mahu terus kekal di JDT
Bintang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi telah mengukir namanya sebagai pemain paling konsisten di persada bola sepak tanah air selepas berjaya merangkul empat anugerah utama pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025.
Arif yang berusia 22 tahun itu dinobat dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut, sekaligus mencipta rekod baharu sebagai pemain pertama mencapai pencapaian ini.
Selain MVP, Arif turut membawa pulang anugerah Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Musim Ini, dan slot dalam Fans XI (Penyerang).
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan penghargaan ini. Tapi ini bukan pengakhirannya. Saya akan terus bekerja keras untuk menjadi lebih baik. Anugerah ini jadi motivasi untuk terus melakar kejayaan,”
ujarnya.
Meskipun mencipta sejarah, Arif mengakui musim 2024/2025 penuh ranjau apabila berdepan kecederaan di awal musim hampir mematahkan semangatnya.
“Saya bergelut di permulaan musim. Kecederaan buat saya ragu, tapi tunjang seperti Coach, TMJ tak pernah berhenti menyokong. Kata-kata semangat beliau bantu saya pulih.”
Dalam pada itu, Arif tidak melihat kehadiran ramai pemain import berkualiti dalam pasukan sebagai satu cabaran buat dirinya sebaliknya menganggap perkara itu sebagai peluang keemasan buat dirinya untuk terus memberikan yang terbaik.
Biarpun berjaya memperoleh pelbagai kejayaan baik di peringkat domestik dan antarabangsa, Arif tetap belum berpuas hati dengan prestasinya ketika ini.
“Saya hanya fokus berlawan dengan diri sendiri. Saya takkan berpuas hati selagi belum capai tahap yang saya impikan.”
Sementara itu, Arif turut menegaskan bahawa beliau akan terus kekal di JDT dan akan terus bekerja keras bagi memastikan beliau terus bersama skuad Harimau Selatan.
“Bermain di JDT bukan mudah, tapi ia impian saya. Isu tawaran ke luar? Biar penyokong dan media berbicara. Fokus saya adalah terus berkhidmat untuk JDT dengan sepenuh hati.”