Paulo Josue: Dari pemain tengah ke Penyerang Terbaik musim 2024/2025

140

Bintang KL City FC, Paulo Josue, menutup musim 2024/2025 dengan penuh bergaya apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik dan memenangi Kasut Emas Liga Super (Tempatan) selepas menjaringkan 17 gol, dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang berlangsung penuh gemilang.

Bagi pemain berusia 36 tahun itu, pencapaian ini sememangnya amat bermakna kerana beliau bersaing dengan ramai pemain hebat lain seperti Romel Morales dan Safawi Rasid yang turut mencatatkan musim cemerlang.


“Saya sangat bersyukur dan gembira menerima trofi ini. Ia bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk seluruh pasukan, terutamanya rakan sepasukan saya yang banyak membantu dengan hantaran-hantaran penting musim ini,”

katanya.

Apa yang lebih menarik adalah ini bukan asal Paulo kerana sepanjang kariernya, beliau bermain sebagai pemain tengah dan sesekali sebagai pemain tengah bertahan. 

Namun dek kekangan dalam pasukan, beliau ‘terpaksa’ mengisi kekosongan di bahagian serangan yang mana keputusan itu akhirnya membuka lembaran baru dalam kariernya.

“Saya langsung tak jangka akan menang anugerah sebagai penyerang. Jurulatih minta saya main di posisi itu secara sementara, tapi saya mula jaringkan gol demi gol. Mereka pun tak bawa masuk penyerang lain, dan saya teruskan peranan itu.”

Walaupun sudah semakin selesa dengan peranan baharu, Paulo tetap berharap pengurusan dapat membawa masuk penyerang sebenar musim hadapan bagi menguatkan lagi pasukan dan mengekalkan momentum sedia ada.

Dalam pada itu, Paulo turut menjelaskan bahawa beliau masih lagi mempunyai baki kontrak bersama The City Boys pada musim hadapan, namun beliau menyerahkan perkara itu kepada pengurusan pasukan untuk tentukan.

“Saya masih ada kontrak, tapi semuanya bergantung kepada kelab. Jika mereka ada perancangan lain, saya tetap menghormatinya. Tapi jika kekal, saya bersedia untuk terus beri yang terbaik.”

Sementara itu, sebagai pemain senior yang berjaya membuktikan kemampuannya di usia 36 tahun, Paulo turut menitipkan nasihat bermakna buat pemain muda.

“Teruskan bekerja keras. Tak kira usia, musim baik atau buruk boleh datang bila-bila. Percaya pada pasukan dan jangan pernah putus asa.”