Aidil Sharin kekal kemudi Kuching City FC! Tiada perubahan besar untuk musim hadapan

503

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, akhirnya mencipta sejarah peribadi apabila berjaya merangkul dua trofi berprestij di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25 — masing-masing bagi kategori Jurulatih Terbaik dan tempat dalam Fans XI (Jurulatih).

“Alhamdulillah, saya telah mencuba yang terbaik. Saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Tiga kali sebelum ini saya tercalon, tetapi tidak menang. Kali keempat ini ternyata tuah buat saya,”

katanya.

Menurut Aidil, kemenangan ini bukan hanya sekadar pencapaian individu, tetapi lambang kepada hasil usaha seluruh pasukan Kuching City, daripada pihak pengurusan, pemain, sehingga penyokong setia. 


Aidil menegaskan bahawa trofi ini adalah untuk semua yang terlibat dalam menjadikan musim ini luar biasa buat kelab.

Pengendali dari Singapura itu berjaya membawa pasukan yang musim lalu menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-13 melonjak ke tangga keempat liga pada musim ini yang mana beliau anggap ia satu pencapaian luar biasa.

“Kami adalah pasukan baharu, 90% pemain baharu. Tetapi saya cuba gabungkan pengalaman, pemain import, dan pemain pinjaman dari JDT untuk kukuhkan pasukan. Hasilnya? Kami berkembang secara kolektif dan berjaya mengubah arah musim ini.”

Dalam pada itu, Aidil turut mengakui tidak hanya berdepan cabaran dari segi teknikal dan taktikal, tetapi juga cabaran untuk menyatukan pemain dari pelbagai latar belakang, namun keserasian yang terjalin telah membuahkan hasil.

Beliau pada masa sama turut mengesahkan komitmennya untuk kekal bersama Kuching City pada musim hadapan.

“Presiden sentiasa menyokong saya. Dan saya mahu balas kepercayaan itu. Musim ini hampir tamat, tapi kerja sebenar baru bermula. Kita akan terus membina dan memperkukuh pasukan.”

Beliau turut mendedahkan bahawa persiapan awal untuk musim depan sedang berjalan, termasuk usaha menambah tiga hingga empat pemain baharu yang benar-benar sesuai dengan falsafah pasukan.

Sementara itu, Aidil turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa mahu jadikan Kuching City lebih baik dari musim ini.

“Dengan semangat dan disiplin yang ditunjukkan pemain, saya percaya kita boleh pergi lebih jauh.”