Kemenangan berganda di ABK cukup bermakna buat Feroz Baharudin
Bintang pertahanan muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin, menutup musim 2024/25 dengan penuh bermakna apabila dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik dan turut mendapat tempat dalam Fans XI (Pertahanan)pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25.
“Pertama, saya kena ACL. Itu adalah perkara yang saya tak nak seumur hidup saya dalam dunia bola sepak,”
katanya.
Menurut Feroz, kecederaan ACL (anterior cruciate ligament) sememangnya mimpi ngeri bagi mana-mana pemain bola sepak dan beliau sendiri mengakui bahawa kecederaan itu adalah saat paling sukar dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, di hujung musim ini, Tuhan memberi rezeki yang sangat besar untuk saya. Saya betul-betul tak sangka dengan anugerah ini.”
Walaupun hanya sempat beraksi pada sebahagian musim, impak dan konsistensi yang ditunjukkan Feroz cukup untuk meletakkannya dalam kalangan pemain pertahanan terbaik Malaysia.
Pengiktirafan ini menjadi satu titik tolak untuknya bangkit lebih kuat musim hadapan.
“Saya rasa tahun ini adalah tahun terbaik juga untuk saya, walaupun saya cedera di pertengahan musim. Dengan anugerah ini, saya lebih bersemangat untuk berusaha lebih keras di masa akan datang.”
Dalam pada itu, Feroz turut mengakui beliau tidak menyangka bahawa beliau akan menang anugerah tersebut kerana beliau bersaing dengan nama-nama besar seperti Dominic Tan dan Harith Haiqal.
“Saya rasa bila nama saya tercalon bersama Dominic Tan, saya pun tak sangka. Dia antara idola saya. Haiqal pula salah satu pertahanan terbaik negara sekarang. Saya harap satu hari nanti dapat bergandingan dengan mereka di pentas antarabangsa.”
Sementara itu, Feroz kini sedang dalam proses pemulihan dan dijangka kembali beraksi pada awal musim hadapan.
“Saya ingin mengharumkan nama negara dan mencipta nama. InsyaAllah, musim depan saya akan kembali.”