Final adalah perlawanan berbeza, kita perlu beri 100% – Hector Bidoglio

124

Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, menekankan pendekatan “fokus pada diri sendiri” sebagai kunci utama menghadapi final Piala Malaysia 2024/25 menentang Sri Pahang FC (SPFC) malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ini kerana menurut Bidoglio, perlawanan akhir merupakan perlawanan yang cukup berbeza dengan perlawanan liga, oleh itu mereka perlu beri fokus sepenuhnya.


“Sepanjang masa saya selalu berkata, perlawanan akhir adalah satu perlawanan yang berbeza. Semua perlawanan akhir sukar, dan kita perlu beri tumpuan kepada diri sendiri. Saya tidak terlalu fikirkan pihak lawan.

Mereka layak ke final kerana bermain dengan baik. Kami perlu kekalkan momentum setelah melalui musim panjang dengan prestasi cemerlang. Esok adalah perlawanan terakhir, dan kami mahu tamatkannya dengan cara terbaik,”

katanya.

Dominasi yang dipamerkan oleh skuad Harimau Selatan adalah motivasi sebenar datang daripada semangat mewakili kelab.

“Memakai jersi ini adalah motivasi terbesar. Kami perlu tunjukkan kerja keras kami, potensi kami, dan beri 100% dalam perlawanan ini. Bola sepak itu aneh, dalam satu minit, segalanya boleh berubah. Jadi kami tidak boleh leka.”

Dalam pada itu, biarpun JDT dilabel sebagai pasukan pilihan namun Bidoglio berkata mereka tidak akan berasa selesa atau pandang rendah pasukan lawan sebaliknya komited untuk berikan yang terbaik.

“Kelebihan terbesar kami ialah menghormati semua lawan. Tidak kira kejohanan, kami sentiasa hadapi dengan disiplin dan fokus yang sama. Itu kunci kejayaan kami.”

Sementara itu, ketua pasukan Natxo Insa berkata pasukan kini berada dalam keadaan terbaik dan sudah bersedia untuk turun beraksi esok.

Pemain tengah berusia 39 tahun itu turut berkongsi perspektif unik sebagai pemain veteran yang menghampiri penghujung kariernya.

“Bila usia menjangkau 40 tahun, setiap hari di padang lebih berharga. Saya tak tahu berapa lama lagi boleh main. Tapi ini beri saya motivasi untuk beri 100%.”

Saya mahu nikmati saat ini. Setiap latihan atau perlawanan mungkin yang terakhir. Tapi saya masih bertenaga, dan final ini istimewa.”