Fandi Ahmad kecewa dengan VAR, tapi bangga dengan semangat juang pemainnya

Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, meluahkan kekecewaan terhadap penggunaan sistem Video Assistant Referee (VAR) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 yang menyaksikan pasukannya tewas tipis 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), namun tetap bangga dengan semangat juang pemain-pemainnya walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Sergio Aguero dilayangkan kad merah.
Menurut Fandi, beliau mempersoalkan gol kedua JDT yang dijaringkan oleh Arif Aiman yang dikatakan berkemungkinan ‘offside’.
“Kami semak rakaman, tapi tiada VAR ditunjukkan. Ini sangat mengecewakan. Ketika itu, kami sedang bersiap untuk membuat pertukaran pemain, tapi pengadil tidak hentikan permainan. Selepas itu, mereka terus menyerang dan menjaringkan gol.
Saya tidak pasti sama ada ada offside atau tidak, tapi sebagai jurulatih, saya kecewa kerana tiada ketelusan dalam keputusan. Hanya pihak dalam yang tahu apa berlaku. Ini mengubah momentum perlawanan,”
katanya.
Meskipun kecewa dengan keputusan pengadilan, Fandi tetap bangga dengan prestasi pasukan kerana baginya cara pasukannya bermain lebih penting daripada keputusan.
“Inilah realiti bola sepak Malaysia. Kadang-kadang kita rasa kecewa, kadang-kadang bertuah. Tapi sebagai jurulatih, saya tak boleh komen lebih. Biar peminat yang menilai.”
Dalam pada itu, Fandi turut mengulas mengenai layangan kad merah Aguero yang mana beliau tidak salahkan pemain itu yang beremosi.
“Saya bercakap dengannya (pemain yang dibuang padang). Saya rasa dia menyesal. Tetapi penting untuk tahu, dia memang seorang yang emosional. Ada pemain yang mudah hilang kawalan, buat tindakan yang melulu. Tapi mereka tetap manusia. Namun ia tak boleh berulang. Ini bukan kali pertama.”
Sementara itu, ditanya mengenai masa depannya bersama skuad Tok Gajah, Fandi berkata beliau masih belum tahu tetapi kontraknya akan tamat pada hujung bulan ini.
“Kontrak saya tamat hujung bulan ini. Saya belum berbincang dengan pihak pengurusan. Saya tidak tahu sama ada akan terus atau bersara. Tapi Kuantan seperti rumah kedua saya.”