JDT julang Piala Malaysia 2024/25, Hector Bidoglio bangga dengan prestasi pasukan

77

Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi menjadi saksi kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mereka menewaskan Sri Pahang FC 2-1 untuk menjuarai Piala Malaysia musim 2024/25. 

Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio bangga terhadap personaliti dan kerja keras yang ditunjukkan oleh pemainnya sepanjang musim.


“Personaliti pemain sangat baik dan saya bangga dengan mereka. Mereka bekerja dengan sangat baik sepanjang musim ini. Saya melihat pemain, pasukan, dan skuad keseluruhan menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dalam pertandingan tempatan dan antarabangsa,”

katanya.

Bidoglio turut mengucapkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) atas kepercayaan serta visi luar biasa dalam membentuk JDT menjadi kelab yang disegani.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bos kami kerana mempercayai saya, dan juga terima kasih kepada semua penyokong atas sokongan luar biasa sepanjang musim ini.”

Mengulas lanjut mengenai persediaan pasukan menjelang final, Bidoglio menegaskan final adalah untuk dimenangi.

“Setiap kali final, saya katakan kepada pemain: final tidak untuk dianalisis, final adalah untuk dimenangi. Hari ini, JDT benar-benar menunjukkan kejuaraan sebenar. Mereka bermain dengan personaliti, karakter, dan teknik.”

Dalam pada itu, mengulas perjalanan musim ini, Bidoglio mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah.

“Kami tahu ia akan menjadi musim yang sukar. Pemain kami bukan sahaja beraksi di liga tempatan, tetapi juga dalam ACLE, pasukan kebangsaan, dan perlawanan persahabatan antarabangsa. Ini adalah musim yang berat, namun pada saya, ia adalah musim yang luar biasa dan cemerlang.”

Bidoglio memuji semangat pemain yang sentiasa mengikut idea dan falsafah JDT yang dibawa oleh TMJ.

Sementara itu, dengan kemenangan ini, JDT sekali lagi membuktikan dominasi mereka di pentas bola sepak Malaysia, dan semangat juang mereka di malam ini terus mengukuhkan reputasi sebagai pasukan elit negara.