Musim liga sudah tamat, fokus Arif Aiman kini kepada perlawanan Harimau Malaya pada Jun depan

Bintang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman sekali lagi membuktikan ketajamannya di pentas besar apabila menjadi wira pasukannya selepas menjaringkan gol kemenangan dalam aksi final Piala Malaysia 2024/25 menentang Sri Pahang FC.
Dengan kemenangan 2-1 itu, JDT berjaya mempertahankan kejuaraan mereka dan terus mengukuhkan dominasi dalam arena bola sepak tempatan.
Arif Aiman, yang turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (Man of The Match), mengakui bahawa perjalanan musim ini bukanlah sesuatu yang mudah buat JDT.
“Alhamdulillah, ya malam ni agak sukar buat kami. Musim tahun ini agak panjang dengan banyak turun naik dalam prestasi kami di setiap perlawanan.
Apa yang penting, saya hanya cuba berikan yang terbaik setiap kali turun ke padang.”
katanya.
Menurut Arif, semangat juang pasukan tetap tinggi walaupun berdepan tekanan selepas ketinggalan di babak pertama dan pada rehat separuh masa digunakan sebaik mungkin untuk menyuntik semangat kepada rakan sepasukan.
“Saya beritahu semua, kita masih ada peluang. Kita kena percaya dan terus berusaha.”
Selepas membantu JDT meraih kejuaraan, Arif kini merancang untuk segera memikirkan tugasan seterusnya bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Meskipun musim domestik telah tamat, fokus Arif kini terarah kepada perlawanan penting iaitu perlawanan kedua peringkat kumpulan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam yang dijadualkan berlangsung pada 10 Jun nanti.
“Rancangannya, saya kena fokus untuk game akan datang. Memang penting buat kami. Cuti? Tengok macam mana, mungkin tak sempat nak rehat lama.”
Dengan prestasi konsisten dan semangat juang yang tinggi, Arif terus membuktikan bahawa dia adalah aset berharga buat JDT dan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.