Heberty puji semangat pasukan selepas JDT berjaya julang Piala Malaysia

Pemain import sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Heberty, meluahkan rasa syukur dan kegembiraan selepas membantu pasukannya menjuarai Piala Malaysia 2024/25 dengan kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Heberty mengakui final kali ini adalah antara yang paling mencabar.
“Perlawanan hari ini sangat sukar. Kami tahu ia bukan tugas mudah, tetapi kami cuba berikan yang terbaik. Akhirnya, kami berjaya menjadi juara sekali lagi,”
katanya.
Mengulas mengenai suasana di stadium, Heberty menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang cukup istimewa.
“Saya rasa ini kali kedua atau ketiga saya bermain di sini. Tapi seperti biasa, suasananya sangat indah. Kami benar-benar menikmati saat ini kerana untuk sampai ke tahap ini bukan sesuatu yang mudah.”
Heberty juga sempat mengucapkan penghargaan kepada pihak pengurusan JDT, khususnya kepada pemilik kelab iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai persembahan pasukan lawan, Heberty tidak teragak-agak untuk memuji prestasi Sri Pahang yang disifatkannya sebagai sangat kompetitif.
“Mereka bermain dengan sangat baik. Mereka bertahan rapat dan menggunakan serangan balas. Mereka juga berjaya menjaringkan gol awal, jadi ia benar-benar menjadikan perlawanan ini sangat mencabar untuk kami.”
Menurut Heberty, pada waktu rehat separuh masa, jurulatih Hector Bidoglio dan pemain-pemain saling memberikan kata-kata semangat untuk kekal fokus dan mencari ruang untuk bangkit.
“Kami berbincang dan tahu sejak awal lagi ini akan menjadi perlawanan yang sukar. Jadi kami teruskan menggerakkan bola, dan akhirnya, kami berjaya menjaringkan dua gol untuk menamatkan perlawanan.”
Dengan kemenangan ini, JDT sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam saingan domestik dan menutup musim 2024/25 dengan penuh gemilang.