Nabil Azlan cemerlang, juara pusingan pertama Super Sporting TGR Vios Challenge Gold Championship 2025

122

Pelumba berbakat, Nabil Azlan, tampil cemerlang apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan pusingan pertama kelas “Super Sporting” dalam saingan TGR Vios Challenge Gold Championship 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Nabil meluahkan rasa syukur dan gembiranya atas pencapaian tersebut. 


“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan keseluruhan prestasi hujung minggu ini,” 

katanya.

Bermula dari petak keempat (P4) dalam perlumbaan pertama, Nabil berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga (P3) sebelum melonjak ke tempat kedua (P2) dalam perlumbaan berikutnya. 

Hasil prestasi konsisten itu, beliau kini membawa tambahan lima kilogram berat imbangan untuk pusingan akan datang.

Menjelang pusingan kedua, Nabil mengakui cabaran bakal menjadi lebih getir dengan tambahan 15 kilogram ballast, susun atur trek penuh, serta sistem mata berganda yang diperkenalkan. 

“Ia akan menjadi perlumbaan yang sangat menarik, tetapi untuk pusingan ini, saya memang sangat berpuas hati.”

Mengulas mengenai persiapannya, Nabil mendedahkan bahawa waktu persediaan amat terhad akibat jadual yang padat. 

“Kami hanya sempat memulakan sesi ujian pada hari Jumaat, tetapi malangnya cermin depan kami pecah pada sebelah petang, menyebabkan masa ujian berkurangan.”

Bagaimanapun, beliau memuji pasukan World Cup atas sokongan luar biasa yang membekalkan jentera berdaya saing, membolehkan beliau memberikan prestasi terbaik di litar.

Dari segi persiapan fizikal dan mental, Nabil berkongsi cabaran peribadi selepas musim perayaan yang mana beliau terpaksa menurunkan berat badan dengan diet dan meningkatkan latihan kardio untuk menyesuaikan diri dengan keperluan fizikal sukan permotoran.

Sementara itu, Nabil juga sempat memberi pesanan kepada generasi muda yang bercita-cita menjadi pelumba profesional yang mana beliau menasihati mereka supaya berani mengejar impian. 

“Sekarang ini, perlumbaan lebih mudah diakses dan lebih mampu milik. Anda boleh bermula dengan perlumbaan simulasi (sim racing), satu platform terbaik untuk menceburi dunia perlumbaan.”

Dengan permulaan musim yang memberangsangkan, semua mata kini tertumpu kepada Nabil Azlan untuk meneruskan momentum cemerlangnya dalam pusingan kedua nanti.