Kelab perlu ada RM3-5 juta untuk Beraksi dalam Liga A1 musim hadapan

604

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa kelab-kelab yang memasang impian untuk bersaing dalam Liga A1 (divisyen kedua) perlu membuktikan kemampuan kewangan sekurang-kurangnya RM3-5 juta semusim sebagai syarat utama.

Menurut Yusoff Mahadi, langkah tersebut akan dilakukan bagi memastikan kestabilan dan kredibiliti liga semi-profesional itu, sekaligus mengelakkan masalah kewangan seperti tunggakan gaji pemain dan pengurusan kelab yang tidak teratur, yang kerap melanda liga sebelum ini.


“Kita tak mahu liga kedua ini jadi medan ulangan isu sama. Kelab perlu ada dana mencukupi untuk belanja pemain, pengurusan dan operasi sepanjang musim.

Surat penaja tak cukup. Dana perlu benar-benar ada dalam akaun kelab. Kita tak mahu ada kelab berjanji tapi akhirnya bergantung pada dana yang tak pasti,”

katanya.

Setiap kelab perlu tunjukkan bukti dana (proof of fund) Mereka juga perlu menyediakan deposit gaji pemain import selama enam bulan jika mereka mahu gunakan khidmat pemain import.

Jelasnya, jumlah perbelanjaan RM3-5 juta disifatkan sebagai realistik untuk liga semi-profesional yang mana dengan bajet tersebut liga dapat berjalan dengan kompetitif tanpa membebankan kelab.

Sekiranya ada kelab yang gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, mereka akan diturunkan ke liga divisyen tiga iaitu Liga A2.

“Kita dah ada senarai kelab AFL sekarang yang mungkin tak layak. Jika mereka tak mampu naik taraf, mereka perlu kekal di liga bawah.”

Dalam pada itu, Yusoff Mahadi memberitahu bahawa pihak AFL turut membuka ruang kepada kelab baharu atau pasukan cabang (feeder team) seperti Selangor FC 2, JDT 2 dan Harimau Muda B-23 untuk menyertai Liga A1.

Beliau juga berkata bahawa pihak AFL meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 12 pasukan untuk bersaing dalam Liga A1 musim depan, dengan jumlah ideal 14 pasukan.

“Kita terbuka kepada kelab baru, tapi mesti ikut syarat. Dana RM3-5 juta bukan untuk halang penyertaan, tapi pastikan liga tak dihimpit masalah kewangan tahun depan.”

Sementara itu, Yusoff Mahadi juga berkata pihak AFL sedang bekerjasama rapat dengan Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelaraskan syarat lesen kelab, termasuk audit kewangan tahunan dan pemantauan salary cap. 

“Kami juga akan kenakan sekatan ke atas kelab yang melanggar peraturan, seperti pengurangan mata atau denda.”